Home Ekonomi Kepadatan penduduk Parlimen Wangsa Maju tertinggi – DOSM

Kepadatan penduduk Parlimen Wangsa Maju tertinggi – DOSM

Mohd Uzir Mahidin

PUTRAJAYA – Statistik Subnasional Parlimen yang meliputi statistik sosioekonomi dan alam sekitar di 222 kawasan parlimen, merekodkan Parlimen Wangsa Maju (P116) mempunyai kepadatan penduduk tertinggi iaitu 13,475 orang bagi setiap kilometer persegi.

Statistik terbitan Jabatan Perangkaan (DOSM) itu menunjukkan parlimen kedua yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi ialah Jelutong (P050) iaitu 11,373 orang, diikuti Pandan (P100) 11,371 orang bagi setiap kilometer persegi.

Menurut statistik itu Parlimen Bangi (P102) mencatatkan bilangan isi rumah dan tempat kediaman tertinggi iaitu masing-masing 182,471 orang dan 201,487 tempat kediaman.

Parlimen Baram (P220) dan Hulu Rajang (P216) pula menurut statistik itu, mempunyai fasiliti klinik kesihatan kerajaan yang tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 25 dan 14 buah, dan Parlimen Baram juga mempunyai bilangan sekolah tertinggi iaitu 78 sekolah rendah dan lapan sekolah menengah.

DOSM dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata Statistik Subnasional Parlimen itu adalah untuk memudahkan dan meningkatkan penggunaan data dalam kalangan Ahli Parlimen.

Statistik Subnasional Parlimen yang julung kali diterbitkan mengandungi indikator seperti maklumat asas; penduduk; perumahan; guna tenaga; pendapatan isi rumah; pendidikan; kesihatan; kemiskinan; keselamatan awam; internet dan media sosial; kemudahan asas dan alam sekitar.

Bilangan pertubuhan dan syarikat perniagaan mengikut sektor ekonomi serta bilangan perniagaan berkaitan keperluan masyarakat setempat di kawasan Parlimen seperti stesen minyak, tadika swasta, kedai dobi, kedai runcit, bengkel kereta dan klinik gigi turut dimuatkan dalam penerbitan statistik itu.

“Penerbitan ini dapat menambah baik tadbir urus kawasan, dan menyediakan keperluan sosioekonomi secara lebih bersasar untuk kesejahteraan rakyat,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan DOSM itu.

Mohd Uzir berkata, penerbitan Statistik Subnasional Parlimen akan dikemas kini secara tahunan dan menjadi rujukan penting dalam pembuat keputusan, input penggubalan dasar, pemantauan dan penilaian keberkesanan program pembangunan negara serta penyelidikan.

“DOSM juga sedang menyediakan penerbitan untuk setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi diedarkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri pada suku kedua tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette