Home Nasional Khalid, Rayer naik angin perbahasan Najib

Khalid, Rayer naik angin perbahasan Najib

cash aid M40 B40 Najib Razak Anwar Ibrahim Sapura Energy debate 1MDB debt
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Sesi perbahasan Datuk Seri Najib Tun Razak pada persidangan Dewan Rakyat petang ini terganggu dengan celahan Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH).

RSN Rayer (DAP-Jelutong) tidak berpuas hati apabila Najib dilihat cuba ‘menyerang’ Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu-Pagoh) dan Khalid Abd. Samad (Amanah-Shah Alam) pula mencelah bertanya, adakah mantan Perdana Menteri itu akan melaksanakan semula sistem Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) yang dimansuhkan kerajaan PH sebelum ini.

Najib yang baru lima minit memulakan perbahasannya mengenai kewangan negara sepanjang tempoh Barisan Nasional (BN), PH dan Perikatan Nasional (PN) berkuasa sering terhenti disebabkan gangguan kedua-dua Ahli Parlimen pembangkang tersebut.

RSN Rayer bagaimanapun diberi amaran dua kali oleh Timbalan Speaker yang baharu, Datuk Ramli Mohd Nor yang mengarahnya duduk, tetapi tidak diendahkan, sebaliknya menggunakan buku peraturan untuk membolehkan beliau menekan Najib supaya tidak menekan Muhyiddin.

Namun, Ahli Parlimen Pekan itu tidak memberi laluan atas celahan mereka, kerana beliau baharu memulakan ucapan perbahasan dan perlu menghabiskan berucap mengikut tempoh ditetapkan.

Khalid pula seperti panas apabila Najib bercakap mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menyifatkannya sebagai pengecut kerana tidak mahu memberi laluan bertanya soalan dibangkitkan.

Dalam ucapan perbahasan itu, Najib menyatakan, minggu lepas Muhyiddin telah mengugut untuk membongkarkan keadaan kewangan negara.

“Tetapi, sehingga kini belum ada apa-apa perkembangan. Tak apalah. Biarlah saya perjelaskan,” katanya pada sesi perbahasan menjunjung titah ucapan Yang Dipertuan Agong di Parlimen, petang ini.

Najib bagaimanapun tenang berdepan dengan ‘serangan’ membosankan dari RSN Rayer dan Khalid. – MalaysiaGazette