Home Nasional Nabil syukur selamat duduki SPM, bebas Covid-19

Nabil syukur selamat duduki SPM, bebas Covid-19

MELAKA – Tiada apa yang lebih menggembirakan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Melaka yang mengidap penyakit gangguan saraf otot progresif atau Distrofi Otot Duchenne (DMD) apabila dapat menduduki kertas pertama SPM hari ini.

Bagi Muhammad Nabil Najmi Zulkiflee, 18, sebagai golongan yang berisiko dijangkiti Covid-19, dia sentiasa berdoa agar tidak dijangkiti virus berkenaan supaya dapat menduduki SPM selepas sekian lama tertangguh akibat pandemik itu.

“Alhamdulillah, akhirnya Allah makbulkan doa saya agar dapat menduduki kertas pertama ujian bertulis Bahasa Melayu hari ini dan pastinya akan berusaha yang terbaik sehingga ujian SPM berakhir 29 Mac ini.

“Saya juga mahu buktikan kepada guru dan rakan, cacat fizikal bukanlah penghalang untuk berjaya dalam akademik selagi tidak putus asa dalam setiap apa yang diusahakan,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil di sini hari ini.

Pelajar jurusan perakaunan itu adalah calon berkeperluan khas tunggal di sekolah terbabit yang menyaksikan seramai daripada 236 calon menduduki ujian bertulis hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu, penyakit DMD yang dihidapi sejak berusia 10 tahun menyebabkan otot kedua belah kakinya mengecut sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda tidak pernah melunturkan semangatnya untuk berjaya dalam pelajaran.

“Malah, saya menganggap semua ketentuan Allah ini sebagai cabaran yang sudah dibuktikan ramai orang kurang upaya (OKU) lain nasib ini bukanlah penamat untuk menempah kejayaan,” katanya. – MalaysiaGazette