JOHOR BAHRU – Kira-kira 3,000 pendudukĀ di Kampung Bendehara dan sekitar sudah hilang sabar berikutan penutupan jalan utama menghubungkan ke pusat bandaraya dan laluan ke sekitar Kampung Melayu Majidee yang masih belum boleh dilalui.
Masalah yang berlanjutan lebih lima tahun itu juga menjadikan penduduk sukar untuk ke destinasi kawasan sekitar.
Seorang penduduk Mohd Karim Wahiman,70, berkata, penutupan di jalan utama itu memberi kesan kepada mereka yang tinggal diĀ Kampung Tengah, Kampung Majide Baru,Kampung Belantik dan Kampung Seri Amar.
Disebabkan penutupan jalan itu, pengguna terpaksa mengambil masa lebih lama berbanding dahulu walaupun mahu ke lokasi berhampiran.
Karim yang juga Pengerusi Tetangga Kampung Bendehara berkata, masalah itu telah dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru dan beberapa lagi agensi terbabit, namun jawapan yang diterima sekadar “melepaskan batuk di tangga.”
Beliau berkata, pihak MBJB hanya memaklumkan jalan disitu perlu ditutup kerana pembangunan sedang dilakukan dan bimbang dengan keselamatan pengguna di situ.
“Kita ada klinik, pasar, klinik bidan dan stesen minyak.Tetapi bila sudah tutup jalan, penduduk terpaksa pusing lebih dari 4 kilometer. Saya minta MBJB pertimbangkanlah,” katanya ketika ditemui di Kampung Bendehara.
Sedangkan laluan sedia ada hanya 400 meter berbanding laluan alternatif, selain terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas dan risiko keselamatan.
Sementara itu, Hassri Abdul Kadir, 54, juga tidak puas hati kerana penduduk terpaksa membuat pusinga yang jauh berbanding laluan sedia ada.
”Kalau sebelum ini nak ke kawasan berhampiran tak sampai lima atau enam minit. Sekarang kita terpaksa pusing jauh. Kalau yang tidak biasa memang boleh sesat,” katanya.
Seorang lagi pengguna di laluan itu, Jamaluddin Mohamad, 61, menambah, kesesakan mungkin akan berlaku apabila penempatan baharu berhampiran siap kelak.
”Untuk itu,dia merayu agar jalan utama di situ dibuka kembali,” ujarnya. – MalaysiaGazette