BATU PAHAT – Masalah capaian internet yang rendah serta keperluan membina tangki air besar untuk menampung keperluan penduduk merupakan dua perkara yang akan didahulukan oleh Mohd Huzair Lajis sekiranya beliau diangkat sebagai wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Calon Perikatan Nasional (PN) itu berkata, dua perkara itu penting untuk diselesaikan segera memandangkan ia merupakan permasalahan yang sudah terlalu lama belum diselesaikan.
Katanya, kemudahan capaian internet berkelajuan tinggi perlu diambil perhatian kerana ketika ini hampir kesemua pembelajaran menggunakan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
“Di Rengit ini masalah utama sekali adalah wifi, ini amat penting…wifi tak kuat, kalau handphone nak Whatsapp pun tak lepas.
“Sekarang ini pembelajaran secara PdPR, jadi ia secara tidak langsung menjejaskan 90 peratus pembelajaran secara online ini…itu yang pertama akan saya ambil perhatian dan saya ada cara untuk atasi masalah itu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada program tukar minyak hitam percuma anjuran Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) semalam.
Mengenai pembinaan tangki air besar pula, Mohd Huzair yang merupakan bekas Eksekutif syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, ia perlu dibina secepat mungkin memandangkan di kawasan pedalaman sering berlaku masalah kekurangan bekalan air.
Ujarnya, tidak ada satu tangki air besar pun dibuat di kawasan Rengit meskipun keperluannya amat mendesak ketika ini.
“Perkara ini telah dibangkitkan penduduk dan kawasan pun dah ada tapi ADUN yang sebelum ini tak buat apa-apa…saya tinggal meneruskan matlamat itu untuk saya selesaikan masalah ni,” dakwanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain ketika ditanya mengenai Bersatu yang masih belum mengumumkan calon menteri besar, beliau mengakui jawatan tersebut diintai oleh calon-calon dalam kalangan muka-muka lama.
“Muka-muka baharu tak layak.
“Memang ada yang bertanya, tetapi kami dimaklumkan oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa, PN kena menang dahulu dan calon menteri besar sudah ada.
“Bagi muka-muka baharu ini tak jadi isu, tapi muka-muka lama memang target mereka untuk jadi menteri besar.
“Perkara ni kalau kita nak lobi kita tak layak, mungkin orang lain juga kata tak layak dan ia boleh menjadikan pimpinan di Johor ni lemah, biarlah orang yang selayak-layaknya pegang jawatan itu,” katanya. – MalaysiaGazette