Home Politik PRN Johor: Calon baharu PH bukan tangkap muat – Mahfuz

PRN Johor: Calon baharu PH bukan tangkap muat – Mahfuz

Mahfuz Omar bersama calon PH Dun Endau Mohamad Fakrulradzi Mahmud dalam Ceramah Rapat Umum PH di Taman Endau Utama di Mersing malam tadi.Gambar MalaysiaGazette

MERSING – Soal calon baharu, muda dan tidak berpengetahuan politik bukan isu serius yang perlu dibimbangkan oleh para pengundi tempatan di Johor khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau di sini.

Sebaliknya anak muda yang dicalonkan telah lama memberi khidmat sosial dan kebajikan sama seperti seorang wakil rakyat di kawasan kelahirannya, kata Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar.

Beliau tampil memberi penjelasan mengenai pendirian Pakatan Harapan menurunkan anak muda berusia 32 tahun sebagai calon di DUN Endau pada Pilihan Raya Negeri Johor kali ini.

“Memang dia baharu dari sudut dari calon, tetapi sudah lama berkhidmat seperti ‘wakil rakyat’ kepada masyarakat dan juga sekitar Mersing dengan mendalami permasalahan serta keluhan penduduk yang tiada penyelesaian sehingga kini.

“Jadi saya fikir itu tidak jadi masalah kerana dia anak muda tempatan yang memahami naluri penduduk setempat dan sedia berkhidmat sepenuh jiwa. Pengundi perlu menilainya dengan calon-calon lain, bukannya ‘status calon baharu’.

“Justeru dengan berbekalkan pengalaman itu saya rasa dia sudah bersedia bersaing dengan calon-calon parti gergasi dan berpengalaman kali ini.” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Rapat Umum PH di Bilik Gerakan Utama Taman Endau Utama di sini malam tadi.

Turut hadir calon Amanah-PH DUN Endau, Mohamad Fakrulradzi Mahmud, 32, bersama isteri Mardiah.

Mohamad Fakrulradzi menerima saingan empat penjuru daripada calon Barisan Nasional Youzaimi Mohd Yusof, Alawiyah Talib dari Perikatan Nasional, calon Pejuang Norhisyam Mohd Ibrahim dan calon Bebas Ismail Don di kerusi DUN Endau yang telah disandang oleh Alawiyah sejak PRU14 yang lalu.

Beliau juga ditanya sejauh mana harapan parti terhadap anak-anak muda berusia 18 tahun yang bakal mengundi pertama kali pada PRN kali ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu menambah bahawa beliau percaya dari sudut pemikiran, anak-anak muda  sangat vokal dalam setiap perkara dan mempunyai jangkauan pemikiran dengan maklumat yang lengkap.

“Justeru saya melihat mereka mampu untuk melakukan sesuatu yang terbaik untuk masyarakat dan negara lagipun bagi saya PRN Johor ini adalah untuk masa depan anak muda khususnya di negeri Darul Ta’akzim ini.

“Anak muda ini tidak seharusnya melepaskan peluang yang terbaik mengundi pertama kali pada usia 18 tahun ini untuk mengukir satu kedudukan yang mana anak muda memainkan peranan penglibatan bersama dalam menentukan arah tuju masa depan negeri ini.

“Justeru saya dah jelajah hampir seluruh Johor dan beberapa DUN lagi saya belum melawat lagi namun saya melihat ada generasi lama yang telah mula menolak UMNO, BN dan juga Perikatan Nasional kerana mereka sudah kecewa dan berputus asa dengan permainan politik yang tidak sihat serta jijik.

“Maka sebab itu saya kata ‘entry’ julung kali undi anak muda 18 tahun kali ini bakal mempengaruhi keputusan PRN di Johor dalam pembentukan pentadbiran baharu dan stabil di negeri ini nanti,” tegasnya.

Ditanya mengenai ura-ura kononnya pemilihan dan penyusunan calon-calon termasuk calon muda oleh Amanah dalam PH tidak dikordinasi dengan sebaik-baiknya pada PRN kali ini, beliau menafikan dakwaan itu sepenuhnya.

“Ia tidak benar sama sekali. Kesemua nama-nama calon ini dari kawasan dan kemudian ia diangkat kepada negeri sebelum ia dirujuk kepada nasional, pilihan kita itu telah mendapat maklumat yang lengkap daripada kawasan yang mencadangkan nama-nama bertanding ini.

“Jadi tidak ada kata-kata atau cakap sembunyi kononnya kita hanya tangkap dan muat mereka..,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette