Home Politik Selamat yakin dapat jadi YB

Selamat yakin dapat jadi YB

Temubual bersama calon Barisan Nasional (BN) N.16 Sungai Balang, Selamat Takim selepas beramah mesra dengan para pengundi ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pasar Pagi Parit Yusop, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 02 MAC 2022.

MUAR – Jasa dan ilmu yang pernah dicurahkan sebagai pendidik menjadi kelebihan kepada calon Barisan Nasional (BN), Selamat Takim untuk dijulang sebagai “Yang Berhormat” di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Ketika ditemui MalaysiaGazette, beliau yang merupakan anak jati di kawasan ditandinginya itu berkata, jasanya pasti dikenang oleh anak murid serta masyarakat di kawasan berkenaan dan itu adalah kelebihan buat dirinya untuk memenangi kerusi DUN tersebut.

Katanya, beliau sangat arif dengan demografi kawasan DUN Sungai Balang dan disebabkan itu adalah tidak sukar untuk bekerja membela nasib rakyat di kawasan itu.

“Saya merupakan seorang pendidik yang bersara awal dan saya adalah warga Sungai Balang, bukan sahaja anak tempatan saya juga tahu tentang demografi di sini.

“Kawasan Sungai Balang ni adalah kawasan pertanian, kawasan yang banyak melahirkan pemain-pemain industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Dari sudut penghasilan makanan tradisional, apa yang telah diusahakan oleh kepimpinan terdahulu saya akan menggilap dan memajukan lagi terutamaya yang berkaitan pertanian, ekonomi dan juga penghasilan terhadap bidang IKS, itu antara matlamat kita,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar pengundi-pengundi di kawasan DUN tersebut tidak mensia-siakan peluang yang ada serta tidak mudah termakan tipu daya yang dimomokkan oleh parti lawan.

Katanya, pengundi-pengundi perlu mempertahankan kerusi DUN berkenaan agar tidak dirampas oleh pembangkang.

“Walaubagaimanapun, di DUN Sungai Balang ini kita masih memenangi kerusi dan kita dapat mempertahankan kerusi ini.

“…dan DUN Sungai Balang belum ada sejarah kalah…saya berdoa kali ini dan selagi menjadi anak tempatan,” tambahnya. – MalaysiaGazette