Home Politik Semua janji dalam Ikrar Perikatan Nasional Demi Bangsa Johor akan ditunaikan –...

Semua janji dalam Ikrar Perikatan Nasional Demi Bangsa Johor akan ditunaikan – Muhyiddin

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) diiringi Timbalan Pengerusi PN, Senator Dominic Lau (kiri) membaca buku Perikatan Nasional "Demi Bangsa Johor" selepas melancarkannya di Hotel Trove, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Perikatan Nasional (PN) akan menunaikan semua janji yang dibuat dalam dalam Ikrar Perikatan Nasional  Demi Bangsa Johor sempena pilihan raya negeri yang dilancarkan hari ini.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, parti itu tidak sama dengan Pakatan Harapan yang tidak menunaikan janji selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

“Kita tak janji lepas tu kita biarkan macam kes Kerajaan Pakatan Harapan dahulu. Dia sebut ini tak payah buat, kita tak boleh buat begitu. Bila kita lancar kita kena buat.

“Satu jawatankuasa yang bebas akan melihat satu persatu, apa yang telah dibuat, dan belum dibuat dalam tempoh 100 hari, setahun, pada tahun kedua ketiga, kita nak tunjukkan bahawa kita komited untuk melaksakan.

“Saya harap dengan usaha ini pengundi di negeri Johor akan menerima baik dan memberikan sokongan kepada PN,” kata Muhyiddin dalam sidang akhbar selepas melancarkan manifesto tersebut di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, manifesto yang mengandungi lapan tunjang, 24 strategi dan 145 pendekatan itu akan dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh sepenggal jika PN diberikan mandat untuk mentadbir Johor.

Sebelum itu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, satu Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan akan ditubuhkan bagi memastikan janji yang dibuat dilaksanakan.

Jawatankuasa tersebut akan dianggotai oleh anak jati Johor daripada golongan profesional dan berpengalaman.

“Ini untuk memastikan ikrar yang dilafazkan untuk rakyat di negeri Johor ini akan direalisasikan menerusi satu daya usaha yang gigih dan telus.

“Untuk kali ini, saya menyeru agar seluruh Bangsa Johor bersatu hati dan memberi mandat dan peluang kepada Perikatan Nasional untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih, cekap dan prihatin rakyat,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Presiden Gerakan Dominic Lau, Timbalan Presiden Bersatu  Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Bersatu Datuk Dr. Mohd. Radzi Jiddin.

PN yang dianggotai oleh Bersatu, Pas dan Gerakan meletakkan 56 calon di semua Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

Muhyiddin yakin PN akan memenangi PRN Johor yang berlangsung 12 Mac ini.-MalaysiaGazette