SETELAH Revolusi Industri 4.0, seluruh dunia mengalami perubahan yang drastik dari segi ekonomi dan perniagaan. Ini secara tidak langsung telah mengubah landskap dunia pekerjaan. Perkembangan dunia teknologi ini telah menyebabkan wujudnya perniagaan yang dipanggil ‘disruptive’ kerana ‘mengganggu’ status quo atau kebiasaan aturan di dalam industri tersebut. Oleh sebab itu, terdapat suatu keperluan yang besar terutamanya di pihak pembuat dasar untuk menilai semula akta dan undang-undang sedia ada bagi memastikan tiada kumpulan yang tertindas di dalam aturan baharu ini.
Ini termasuklah dengan ‘unicorn2’ yang muncul dan berjaya mengambil peluang daripada kemudahan teknologi yang memungkinkan mereka untuk melangkah dengan laju dan meraih keuntungan yang luar biasa. Antaranya termasuklah perniagaan aplikasi berdasarkan platform yang mana tidak perlu mematuhi beberapa prosedur dan undang-undang sepertimana perniagaan lain. Walaupun ini memberikan kelebihan kepada mereka, namun begitu pembuat dasar haruslah mengambil tahu sekiranya terdapat sebarang perkara yang boleh menyebabkan berlakunya penindasan baharu di dalam landskap yang baru menghijau ini. Perubahan ini juga telah membuatkan pekerjaan makin dilihat hanyalah sebagai sebuah komoditi. Pekerjaan yang mudah ditukar, dijual beli dan sebaiknya tidak kuat ditadbir undang-undang.
Landskap pekerjaan yang berubah ini telah membuatkan terlepasnya perkara-perkara asas dalam undang-undang yang selama ini menjamin kebajikan mererka yang menjalankan tugasan bagi mendapatkan bayaran. Contohnya dalam golongan pekerja gig seperti pemandu e-hailing. Mereka ini sebenarnya adalah golongan rentan yang terdedah dengan pelbagai diskriminasi. Mereka ini adalah golongan yang telah mengeluarkan kos yang banyak untuk memulakan servis yang dipasarkan sebagai ‘rakan niaga’ namun begitu, tidak terdapat sebarang akta dan undang-undang yang melindungi mereka. Sebaliknya, terdapat beratus-ratus kes dan isu yang timbul dan tidak dapat diselesaikan disebabkan kelompongan dalam undang-undang.
Antara contoh isu yang timbul ialah isu pemandu e-hailing yang ditamatkan perkhidmatan tanpa sebarang justifikasi, isu penilaian yang berat sebelah, isu bayaran yang tidak setimpal, isu perubahan terma dan syarat yang berubah tanpa persetujuan jelas sehingga mengakibatkan kerugian pada vendor-vendor makanan. Dengan kewujudan pelbagai isu ini, kerajaan tidak berupaya untuk melindungi dan mencari jalan penyelesaian disebabkan ketiadaan undang-undang yang sesuai untuk menyelesaikan kemelut ini. Misalnya sehingga sekarang, kes Puan Ivy Loh masih tidak ada jalan penyelesaian.
Kerajaan baru-baru ini telah pun membentangkan pindaan pada Akta Kerja 1955 dalam bacaan pertama yang memasukkan definisi-definisi baru untuk mengkategorikan seseorang itu sebagai pekerja termasuklah cara kerja yang tertakluk dengan arahan dan hala tuju oleh orang lain, keadaan di mana servis seseorang itu adalah penting untuk keberlangsungan sesebuah perniagaan, keadaan di mana seseorang itu diberikan alatan atau material untuk melaksanakan sesuatu tugasan dan sebagainya.
Definisi-definisi ini adalah bertepatan dengan kriteria-kriteria pekerjaan seperti pemandu e-hailing, yang seiring dengan definisi dan kriteria standard global yang menjadikan hubungan seseorang itu persis hubungan sebagai seorang pekerja dan majikan, berbanding sebagai kontraktor bebas, khususnya dari segi tahap penguasaan dan tahap kebebasan antara kedua pihak dalam aturan kerja tersebut. Sebagai contoh, apabila pemandu e-hailing mendapat tawaran tugasan mengambil penumpang yang jauh daripada lokasinya dan menolak tawaran tersebut, penilaian prestasi beliau boleh merudum.
Begitu juga apabila terdapat aduan daripada penumpang, pihak syarikat pembekal platform mempunyai hak dan kuasa untuk menamatkan perkhidmatan pemandu tersebut tanpa sebarang ruang untuk pembelaan diri. Pemandu-pemandu juga tidak bebas menyiapkan tugasan yang diberikan, sebaliknya akan dipantau sepanjang perjalanan. Semua ciri-ciri pekerjaan ini menjurus kepada tingginya kekuasaan pembekal platform dan rendahnya autonomi pemandu untuk dikriteriakan sebagai kontraktor bebas.
Setelah pelbagai tekanan, kerajaan akhirnya mengeluarkan pindaan ini, namun begitu pindaan sebegini dijangka tidak dapat menyelesaikan permasalahan-permasahan yang ada dalam landskap dunia digital disebabkan oleh norma dan ciri nya yang berlainan dengan landskap dunia pekerjaan tradisional. Antara persoalan yang timbul adalah kebolehlaksanaan terma fleksibliti, iaitu bahagian baru yang dimasukkan yang mana pekerja boleh memohon untuk pekerjaan fleksibel, kesesuaian bahagian-bahagian lain seperti cuti materniti, pengiraan gaji minima, pengiraan kadar lebih masa, penentuan hari rehat, proses terminasi dan sebagainya.
Oleh itu, adalah lebih wajar untuk kerajaan memikirkan akta yang baru sama sekali yang lebih sesuai untuk digunakan dalam landskap pekerjaan digital yang sudah jelas berlainan daripada landskap pekerjaan tradisional. Antara cadangan yang dikemukakan oleh beberapa badan pemikir seperti REFSA dan The Centre adalah kewujudan terma baru seperti ‘pekerja bebas’ ataupun akta baru seperti Akta Kerja Saksama. Kerajaan juga boleh mengambil kira proses yang dilalui oleh vendor makanan untuk memastikan setiap pemain di dalam landskap ekonomi digital ini tidak ditindas.
Akta baru seperti Akta Ekonomi Gig di mana terdapat definisi yang jelas dan cakupannya bukan hanya untuk pekerja, tetapi juga untuk vendor, perniagaan dan semua pemain dalam industri, boleh diperhalusi dan diperkenalkan. Akta dan polisi yang menyeluruh dalam dunia digital ini akan membantu membentuk hala tuju Malaysia dalam landskap digital sekaligus membuatkan implementasi lebih mudah serta meningkatkan keyakinan pelabur. Negara2 maju sudah pun melakukan kajian akta ekonomi gig seperti di Amerika Syarikat dan sebahagian lain sudah pun membuat perubahan di dalam akta mereka. Malaysia tidak seharusnya ketinggalan dalam perkara ini, sebaliknya haruslah pantas dan komprehensif dalam menggubal dasar bagi membolehkan kita berada di tahap yang tinggi dalam ekonomi digital.
Farah Nabilah Abdul Rahman
Perunding Maverick Insight