Home Politik BN tak guna serangan peribadi – Ismail

BN tak guna serangan peribadi – Ismail

Calon Barisan Nasional (BN) N.07 Bukit Kepong, Ismail Mohamad sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 04 MAC 2022.

PAGOH – Barisan Nasional (BN) tidak akan menggunakan pendekatan serangan peribadi sepertimana calon-calon lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Ismail Mohamad menegaskan, pihaknya sebaliknya  menawarkan program-program membantu rakyat dari segi ekonomi, perumahan dan juga program kebajikan sekiranya dipilih pada PRN kali ini.

“Kita tidak buat pendekatan serang peribadi tapi lebih menawarkan program-program bantu rakyat begitu juga kita di DUN Bukit Kepong.

“Kita tawarkan dari segi pendekatan bantuan kepada rakyat dari segi ekonomi, perumahan dan juga program kebajikan apabila kita menang nanti.

“Kita tahu isu perumahan yang terbengkalai selama ini kita lebih kepada nak teruskan usaha-usaha yang pernah kita buat dahulu,” kata penyandang kerusi DUN Bukit Serampang yang dinamakan Bukit Kepong itu kepada MalaysiaGazette di Kompleks Pekembar Johor hari ini.

Ketua UMNO Pagoh itu juga memberitahu, jentera BN telah mendekati pengundi putih di kawasan itu.

Langkah itu bagi memastikan undi kumpulan itu tidak lari ke calon-calon lain.

“Kita sebenarnya mempunyai rangkaian cawangan dengan lebih 147 PDM (Pusat Daerah Mengundi) dan jentera jadi pendekatan itu yang kita gunakan untuk gerakkan jentera.

“Kita juga telah kenal pasti pengundi yang sokong kita jadi pengundi putih itu kita dekati dan pastikan mereka sokong kita sehingga hari mengundi.

“Jadi pendekatan kita lebih mendekati pengundi yang menyokong kita dengan lebih dekat lagi,” kata Ismail. – MalaysiaGazette