TANGKAK – Calon Barisan Nasional (BN) N10 Tangkak, Ong Chee Siang akan melaksanakan lima aku janji dan 15 tindakan dalam membina Tangkak baharu sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Chee Siang, usaha untuk membina Tangkak berwajah baharu memerlukan seorang anak muda yang berani dan sanggup berkorban demi mencapai matlamat itu.
“Lima aku janji yang akan dibawa ialah meningkatkan ekonomi, menambahbaik infrastuktur komuniti, meningkatkan perkhidmatan perubatan, kualiti pendidikan serta menubuhkan pusat maklumat dan perundingan.
“Justeru dengan rasa rendah diri, saya memohon kepada pengundi Tangkak untuk keluar mengundi pada 12 Mac ini.
“Berilah saya peluang membawa semangat dan wajah baharu kepada Tangkak dan saya turut menyeru kepada semua warga Tangkak untuk bersama-sama dengan saya merealisasikan matlamat ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Chee Siang berkata, dalam merancakkan ekonomi, beliau mahu menjadikan Tangkak sebagai destinasi agro-pelancongan dengan tarikan budaya dan sejaran tempatan seterusnya menambah peluang pekerjaan.
Selain itu, beliau juga mahu memperkasa belia dengan mewujudkan Pusat Konsultasi Perniagaan dan Pertanian bertujuan menggalakkan anak-anak Tangkak di perantauan untuk kembali menabur bakti membangunkan kampung halaman.
“Dari segi kesihatan pula, saya berjanji untuk memerangi pandemik dengan serius serta memberikan bantuan yang diperlukan serta meningkatkan kemudahan perubatan dan penjagaan kesihatan awam.
“Selain itu, segala maklumat dan sumber berkaitan akan diintegrasikan dalam pencegahan pandemik untuk meningkatkan kesedaran awam sert bantuan kepada isi rumah yang terkesan akibat Covid-19,” ujarnya.
Tambah Chee Siang lagi, pembangunan masyarakat turut diberi perhatian dengan menambah baik kemudahan dari segi pembangunan infrastruktur di kawasan bandar dan luar bandar, meningkatkan tahap keselamatan komuniti dan menambah baik sistem saliran bagi mengurangkan masalah banjir.
Manakala dari segi pendidikan pula, beliau mahu mengintegrasikan segala maklumat dan sumber berkaitan dengan pendidikan lanjutan bagi membolehkan setiap anak Tangkak berpeluang melanjutakan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.
Dalam PRN Johor, Dewan Undangan Negeri Tangkak menyaksikan pertembungan lima penjuru di antara Chee Siang dengan calon Pakatan Harapan yang juga penyandang, Ee Chin Li; Chong Fat Full (Perikatan Nasional); Muhd Airel Zabridin (Parti Pejuang Tanah Air) dan calon bebas yang menggunakan lambang pokok, Zainal Baharom A Kadir. – MalaysiaGazette