HONG KONG – Dua daripada rangkaian runcit pengguna terbesar Hong Kong mula mencatu beberapa barangan makanan dan ubat pada hari Jumaat untuk membendung pembelian panik yang mula melanda bandar itu sejak minggu lalu, di tengah-tengah kebimbangan penutupan seluruh bandar apabila kes Covid-19 melonjak.
Rangkaian pasar raya ParknShop mengumumkan had lima barangan ruji bagi setiap pelanggan seperti beras, makanan dalam tin dan kertas tandas manakala farmasi Watsons meletakkan had sama bagi ubat untuk sakit, demam dan selsema, lapor media Hong Kong.
Pada hari Rabu, ParknShop mengumumkan waktu buka operasi yang lebih singkat, dengan beberapa daripada 200 cawangannya ditutup pada pukul 3 petang – pada masa sama banyak kedai di seluruh hab kewangan Asia itu tidak menjual daging dan sayur-sayuran segar dan beku sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Kedua-dua ParknShop dan Watsons adalah unit konglomerat tersenarai di Hong Kong, CK Hutchison.
Pegawai kerajaan Hong Kong telah berulang kali menggesa orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik minggu ini, dengan mengatakan bekalan adalah mencukupi.
Mengakui aduan orang ramai yang keliru dengan mesej kerajaan, Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam berkata kerajaannya tidak merancang untuk “berkurung sepenuhnya” sementara ia merancang ujian saringan wajib ke atas 7.4 juta penduduk bandar itu.
Kerajaan akan mengumumkan butiran pelan itu apabila ia dimuktamadkan, katanya.
Pihak berkuasa melaporkan rekod jangkitan harian baharu Covid-19 sebanyak 56,827 dan 144 kematian pada Khamis, peningkatan kira-kira 100 kes pada awal Februari. – Reuters