Home Utama Kerajaan bantu rakyat tiada slip gaji beli rumah – Ismail Sabri

Kerajaan bantu rakyat tiada slip gaji beli rumah – Ismail Sabri

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) menandatangani plak sambil diiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kiri) dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (dua kanan) ketika mengadakan lawatan ke Residensi PR1MA Larkin Indah di Larkin, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Berita gembira buat rakyat negara ini yang tidak memiliki slip gaji kerana mereka kini boleh membuat pinjaman untuk membeli rumah masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana pinjaman golongan itu akan dijamin oleh kerajaan menerusi penubuhan anak syarikat Kementerian Kewangan iaitu Skim Jaminan Kredit Berhad (SJKP).

Menurut beliau, inisiatif itu selari dengan pengumuman yang dilakukan semasa Belanjawan 2022 tahun lalu yang mana sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan kepada SJKP.

“Pinjaman beli rumah adalah isu yang dihadapi di mana salah satu syaratnya adalah slip gaji dan sebagainya. Ramai yang bekerja sendiri tiada mempunyai slip gaji.

“Jadi dengan Skim Jaminan Kredit Berhad ini, mereka yang tidak mempunyai slip gaji pun boleh pohon pinjaman kerana ia akan dijamin kerajaan.

“Ini usaha yang dilakukan kerajaan bagi memastikan kumpulan yang tidak mempunyai jawatan tetap dan sebagainya, boleh miliki rumah sendiri,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Penyampaian Surat Tawaran kepada bakal pembeli Residensi Larkin Indah, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Skim Pinjaman Perumahan Inovatif PR1MA.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Pengerusi PR1MA Datuk Fathul Bari Mat Jahya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (duduk, tengah) diiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (duduk, dua kanan) dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (duduk, dua kiri) ketika mengadakan lawatan ke Residensi Larkin Indah (PRIMA) di Larkin, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 MAC 2022.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, selari dengan pertumbuhan ekonomi, perumahan juga menjadi keperluan kehidupan yang mendesak buat Keluarga Malaysia.

Jelas beliau, dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat Covid-19, harga rumah masih dianggap terlalu mahal dan sukar dimiliki oleh golongan muda khususnya.

“Justeru Kerajaan, melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) serta Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) telah pun menggariskan langkah-langkah segera dan jangka panjang yang perlu diambil untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Ismail Sabri turut melahirkan rasa bangga dengan usaha Kerajaan Johor yang bersama-sama agensi kerajaan lain seperti PR1MA untuk merealisasikan projek-projek perumahan di seluruh negeri itu dalam menyahut seruan kerajaan untuk membina perumahan yang berdaya huni.

Tambah beliau, ia selaras dengan aspirasi memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40  tanpa menanggung beban kewangan yang berat melalui program perumahan mampu milik.

“Saya juga difahamkan pada Januari lalu, Kerajaan Negeri Johor telah mewujudkan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) sebagai agensi utama yang menguruskan perumahan dan hartanah di negeri ini.

“Ini ditambah dengan usaha-usaha sedia ada  agensi-agensi Kerajaan lain seperti PR1MA misalnya, dapat menyumbang secara positif ke arah pemilikan rumah yang lestari.

“Majlis hari ini  adalah bukti keprihatinan pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor serta pihak PR1MA dalam pemilikan rumah bagi Keluarga Malaysia yang berpendapatan sederhana di negeri ini dan kesungguhan mereka untuk membina komuniti pada hari esok,” katanya. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) diiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kiri) dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (tiga kiri) mendengar penerangan ketika mengadakan lawatan ke Residensi Larkin Indah (PRIMA) di Larkin, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 MAC 2022.