MERSING – Ketua Bahagian Bersatu Mersing merangkap Pengarah Pilihanraya Bersatu Parlimen berkenaan, Laili Yusof hari ini bertindak melepaskan segala jawatan dalam parti itu berkuatkuasa serta merta.
Laili turut menyatakan hasrat kembali kepada UMNO dan mengumumkan sokongan kepada calon-calon Barisan Nasional di DUN Endau dan Tenggaroh.
“Walaupun keputusan ini nampak seakan terburu-buru ketika kempen PRN Johor yang sedang berlangsung, tetapi sebenarnya terpaksa mengambil kira segala pertimbangan sewajarnya serta tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
“Saya dan rakan rakan-rakan saya dari Bersatu telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti,” katanya dalam sidang media khas pengumuman luar jangkaan itu di Restoran Nusantara di Endau tepat jam 3 petang tadi.
Pengumuman itu turut disaksikan oleh Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Laili, pelbagai permainan dalaman berlaku dalam Bersatu dan mendakwa komponen Perikatan Nasional itu sudah lari daripada prinsip asal mereka yang ditetapkan perlembagaan selama ini.
“Bagi kami parti Bersatu sudah hilang hala tuju yang jujur dan kami berasakan bahawasanya penyertaan dan perjuangan kami untuk membela dan memperjuangkan rakyat bersama Bersatu selama ini hanyalah sia-sia sahaja.
“Saya berharap keputusan yang kami ambil ini memberi iktibar kepada sahabat-sahabat lain terutama sekali yang di negeri Johor yang berdaulat ini.
“Masih tak terlambat untuk kita memperbetulkan keadaan dan mengambil kira kepentingan rakyat dengan sekaligus mengembalikan sepenuh kpercayaan rakyat terhadap sistem demkokrasi berperlembagaan,” ujar Laili.
PRN Johor bagi kerusi DUN Endau menyaksikan pertandingan lima penjuru iaitu Alwiyah Talib yang merupakan penyandang ADUN di situ, Mohd Youzaimi Md Yusof (BN), Mohamad Fakrulradzi Mahmud (PH), Mohd Noorhisyam Ibrahim (Pejuang) dan Ismail Don (Bebas). – MalaysiaGazette