KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang untuk melakukan beberapa ujian tambahan terhadap sampel tisu dalaman mendiang Revnesh Kumar yang meninggal dunia secara mengejut dalam komuniti baru-baru ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sampel tersebut mungkin perlu dihantar ke luar negara untuk ujian selanjutnya.
“Kesemua perkara ini telah dimaklumkan kepada ibu bapa mendiang Revnesh Kumar dan mereka memahami penerangan yang diberikan serta bersetuju dengan langkah-langkah yang akan diambil bagi mengenal pasti punca kematian mendiang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Revnesh, 13, meninggal dunia secara mengejut pada 16 Januari lalu apabila rebah dalam lif di blok perumahannya sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia.
Remaja tersebut menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Presint 18 di Putrajaya pada 30 Disember tahun lalu dan dijadual menerima dos kedua vaksin pada 20 Januari lalu.
Terdahulu Khairy Jamaluddin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pakar Forensik Hospital Serdang, Dr. Emizam Mohamadon mengadakan perjumpaan dengan Naresh Kumar Lachmenou dan Vijayarani Govindan yang merupakan bapa dan ibu mendiang Revnesh.
Menurut Khairy, dalam perjumpaan selama 30 minit di KKM itu, ketiga-tiga mereka memberi penerangan berhubung perkembangan terkini siasatan punca kematian Revnesh dan perancangan serta komitmen kementerian tersebut dalam perkara itu.
Tambah beliau, hasil dapatan bedah siasat dan keputusan ujian telah dijalankan setakat ini termasuk pemeriksaan Histologi akan dibentang dan dibincangkan dalam kalangan pakar forensik pada sesi peer-review, Isnin ini.
“Laporan bedah siasat dan semua keputusan ujian yang dijalankan seterusnya akan turut diserahkan kepada ibu bapa mendiang selepas selesai sesi peer-review tersebut,” ujarnya sambil menambah perkembangan siasatan akan dimaklumkan dari semasa.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin memberitahu, beliaui dan seluruh warga kerja KKM menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Revnesh atas pemergian beliau.
Menteri kesihatan itu turut memohon agar masyarakat tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai kes kematian tersebut. – MalaysiaGazette