TANGKAK – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, Khairin-Nisa Ismail berkata, kebanyakan masyarakat di DUN Serom mahu BN diberi peluang untuk mentadbir semula.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Ledang itu berkata, sepanjang berkempen selama seminggu, rata-rata penduduk mendakwa mereka sukar untuk mendapatkan bantuan yang disalurkan ketika pemerintahan kerajaan terdahulu.
“Saya lihat dan dengar sendiri masyarakat minta BN diberikan peluang memerintah semula sebab banyak bantuan susah hendak dapat, wakil rakyat pula entah ke mana.
“Begitu juga dengan masyarakat Tionghua, mereka turut mengalami masalah yang sama.
“Justeru, jika saya diberikan mandat sebagai wakil rakyat, saya berikrar untuk memberikan perkhidmatan yang menyeluruh kepada seluruh kaum tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Parit Bunga di sini hari ini.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan pertembungan empat penjuru di N11 Serom membabitkan Khairin-Nisa mewakili BN bertemu Asim Abdullah dari Pakatan Harapan, Rahmat Daud (Perikatan Nasional) dan Abdul Azim Abdul Malek (Parti Pejuang Tanah Air).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Serom dimenangi Dr Faizul Amri Adnan dari Parti Keadilan Rakyat dengan majoriti 2,324 undi menewaskan calon BN, Abdull Rahim Talib dan calon Pas, Mustaffa Salleh.
Khairin-Nisa berkata, beliau berhasrat untuk menawarkan kelas tuisyen dalam talian secara percuma kepada pelajar Tingkatan 5 di kawasan tersebut jika diberi mandat dalam PRN Johor.
Beliau yang juga seorang peguam menambah, pendidikan merupakan asas yang sangat penting kepada anak-anak dan ia perlu diberi perhatian yang khusus.
“Saya melihat pendidikan itu sebagai sesuatu yang sangat penting, jadi saya berhasrat untuk beri tuisyen percuma kepada pelajar Tingkatan 5 secara online kerana kita faham ada yang susah hendak keluar dan sebagainya.
“Kawasan ini juga rata-ratanya adalah nelayan, jadi saya mahu salurkan apa sahaja bantuan yang wajar kepada mereka mengikut kesesuaian,” ujarnya.
– MalaysiaGazette