Home Politik PH bincang calon MB lepas menang PRN Johor

PH bincang calon MB lepas menang PRN Johor

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan

BATU PAHAT – Walaupun telah seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung, namun, Pakatan Harapan (PH) dilihat masih lagi berahsia berhubung pelantikan calon bakal menteri besarnya.

Ketika ditanya mengenainya, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, perkara itu masih tidak dibincangkan lagi.

Apa yang penting bagi PH adalah mendapatkan kemenangan terlebih dahulu kerana itu  matlamat utama.

“Kita tak bincang sebab perkara yang lebih penting adalah mendapat kemenangan dulu.

“Untuk letak seseorang sebagai calon (MB), kita akan bincang pada masa yang sesuai bila dah dapat kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Teras Tawaran PH untuk Rakyat Johor 2022-2027, sempena kempen PRN Johor yang sedang berlangsung ketika ini.

Terdahulu, PH melalui manifestonya menggariskan tiga perkara iaitu membina semula ekonomi rakyat, menjamin kesejahteraan rakyat dan mewujudkan pentadbiran bersih, cekap dan bermaruah.

Teras tersebut dipecahkan kepada beberapa bahagian merangkumi perkara-perkara yang hendak dilaksana sejurus PH membentuk kerajaan negeri.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kelainan tawaran PH itu dengan parti-parti lain Aminolhuda berkata, setiap tawaran yang merupakan manifesto parti mungkin ada yang sama tetapi pasti ada perbezaan.

Namun, katanya, ada tawaran yang dikemukakan oleh PH pada Pilihan Raya Umum (PRU14) lalu tidak terdapat dalam tawaran oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir Johor lebih 60 tahun.

Bagaimanapun, tambah beliau, tawaran PH pada PRN ini tetap segar untuk dinikmati rakyat jika mandat diberikan kepada parti itu. – MalaysiaGazette