JOHOR JAYA – Bukan sekadar mendengar aduan dan keluhan rakyat tapi dalam masa yang sama kena segera menyelesaikan isu penduduk tanpa berlengah.
Itu prinsip calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Chan San San yang berpengalaman berkhidmat sebagai Ketua Kampung Baru Plentong di Masai sebelum ini.
Justeru dengan pengalaman yang ada tidak menjadikannya kekok menyantuni dan menyelesaikan isu-isu penduduk setempat.
“Ini rutin kerja saya setiap hari sampai saya terima banyak aduan daripada orang awam dan cuba selesaikan walau dalam waktu berkempen,” jelasnya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Zon Johor Jaya memulakan kempen hari ini dengan membantu seorang pesakit mental yang tinggal sementara di sebuah pondok di Jalan Kemboja 2, Masai.
“Dia sudah berada di pondok ini beberapa bulan. Selepas ini saya akan bawa dia jumpa doktor untuk mendapatkan rawatan, kemudian akan mencari penempatan lain untuknya.
“Kita tak kira pengundi atau tidak. Siapa yang memerlukan bantuan, kita akan bantu,” jawabnya apabila ditanya jika individu yang dibantu itu merupakan seorang pengundi di kawasannya bertanding.
San San yang merupakan anak jati Kampung Baru Plentong menjelaskan tujuan bertanding sebagai wakil rakyat adalah untuk mendekati dan membantu lebih ramai penduduk.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara penyandang kerusi itu pada PRU-14, Liow Cai Tung dari Pakatan Harapan (DAP), San San (BN-MCA), Datuk Dr Ker Ching Sheng (PN-Gerakan) dan Chen Hain Kai dari Warisan pada 12 Mac ini. – MalaysiaGazette