PENGERANG – Tanjung Surat berpotensi dibangunkan sebagai kawasan eko-pelancongan warisan susulan peninggalan sejarah yang masih terdapat di kawasan itu.
Itu antara aspirasi calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin yang ingin merancakkan aktiviti pelancongan di Timur Johor sekiranya terpilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.
“Ada beberapa peninggalan sejarah, jadi kita akan tingkatkan eko-pelancongan di Tanjung Pengelih di mana terdapat kubu British lama yang boleh dibangunkan sebagai pusat pelancongan.
“Meskipun Pulau Tanjung Surat di mana pulaunya terasing dengan daratan tapi tidak begitu jauh.
“Di sana juga ada peninggalan sejarah dan kita juga akan bangunkan dari segi pelancongan paya bakau dan artifak yang ada,” katanya kepada MalaysiaGazette di Kampung Punggai di sini hari ini.
Tanjung Surat yang terletak dalam Parlimen Pengerang lebih awal dibangunkan dengan industri penapisan minyak dan gas namun berpotensi untuk mengetengahkan warisan negara.
“Pulau Tanjung Surat sangat bermakna kepada kawasan ini kerana terdapat sejarah juga perkampungan. Dan sekarang ada agensi-agensi kerajaan memajukan pulau tersebut sebagai kawasan pelancongan di DUN Tanjung Surat.
“Di Tanjung Surat ini juga terdapat pembangunan yang berimpak tinggi iaitu projek di Rapid Pengerang. Ia mempunyai kaitan dari segi pembangunan usahawan,” katanya.
Selain penambahbaikan sektor eko-pelancongan, kawasan nelayan juga mempunyai tarikan tersendiri untuk dijadikan kawasan rekreasi kepada pelancong dalam dan luar negara.
“Tanjung Surat ada tiga empat pengkalan nelayan dan kita akan fokus kepada nelayan Sungai Musoh dan Sungai Punggai dari segi persiapan nelayan untuk ke laut dengan menyediakan tempat lebih sesuai.
“Dari pelancongan nelayan ini memang ada kawasan pelancongan nelayan seperti di Batu Layar seperti di Tanjung Sepang dan sebagainya
“Resort sudah ada cuma kita akan tingkatkan aktiviti pelancongan dan riadah Tanjung Surat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette