Home Seni Hidup Ahmad Idham mahu jumpa Muhyiddin untuk bersihkan nama

Ahmad Idham mahu jumpa Muhyiddin untuk bersihkan nama

Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Datuk Seri Eizlan Yusof (kiri).

KUALA LUMPUR – Dua selebriti berpengaruh, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Datuk Seri Eizlan Yusof menyifatkan dakwaan ditamatkan kontrak dalam tempoh 24 jam daripada Kementerian Luar berikutan bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di bawah tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai sangat kelakar.

Mengulasnya, Ahmad Idham berkata, dia tidak pernah menyatakan secara umum untuk menyertai parti politik.

“Sangat kelakar. Saya mahu pun Eizlan tidak pernah menyatakan hasrat terjun ke dunia politik. Kami hanya menyokong Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang.

“Jika itu menjadi alasan diberhentikan, lihat balik kenyataan Saifuddin dalam Parlimen. Beliau pernah menyatakan, tiada halangan buat saya dan Eizlan menyertai politik kerana ia adalah hak individu.

“Jadi, isu ini membuatkan saya dan Eizlan lebih keliru. Menerusi laporan media, dakwaan dibuat menerusi sumber, bukannya kenyataan Saifuddin.

“Namun, ramai menganggap Saifuddin mengeluarkan kenyataan susulan kenyataan itu. Saya tidak merasakan begitu kerana beliau membenarkan kami menyertai politik,” katanya.

Ahmad Idham dan Eizlan ditemui pada sidang media bagi menjawab persoalan ditamatkan perkhidmatan secara virtual, petang semalam.

Terdahulu, Saifuddin mengumumkan kontrak Ahmad Idham selaku Setiausaha Kebudayaan dan Eizlan sebagai Perunding Kreatif bersama setiausaha sulitnya, Datuk Fizal Fauzi sudah ditamatkan kelmarin.

Difahamkan, ia berlaku dalam tempoh 24 jam namun Saifuddin tidak menyebut secara spesifik tarikh kontrak ditamatkan.

Namun, sumber rapat dengan kementerian mendakwa, Ahmad Idham dan Eizlan dipercayai mempunyai aspirasi politik yang tinggi dan berharap mendapat sokongan menteri untuk menyertai dunia politik.

Pengarah filem Adnan Sempit dan Hantu Bonceng itu berkata, dia tidak menolak sekiranya wujud unsur politik yang cuba menjatuhkan Saifuddin.

“Kami belum menerima lamaran daripada mana-mana parti politik. Setakat ini, saya hanya terbabit dalam aktiviti politik di kawasan parlimen Saifuddin iaitu Indera Mahkota.

“Mungkin ada pihak tertentu mahu merosakkan imej Saifuddin. Namun, menjadi persoalannya adakah ini juga cubaan melagakan kami, sedangkan Saifuddin tidak pernah menghalang jika kami menyertai politik,” katanya.

Tambah Ahmad Idham, sekiranya serius menyertai politik, pihak yang berhak memutuskannya adalah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ekoran itu, Ahmad Idham mempunyai perancangan bertemu Muhyiddin bagi membersihkan namanya.

“Ada hikmah atas apa yang berlaku. Ia juga mungkin membuka laluan untuk saya dan Eizlan meneruskan kerja di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Namun, saya tidak pasti sama ada menggunakan wadah politik atau badan bukan kerajaan (NGO). Apapun, kami memang berhasrat bertemu Muhyiddin untuk berbincang.

“Ini kerana ada tohmahan mengatakan Bersatu tidak menerima saya menyertai mereka, itu memburukkan nama saya. Mungkin Presiden Bersatu pun tidak tahu mengenai permainan ini.

“Permainan ini boleh menjatuhkan Bersatu. Jadi, saya kena bertemu dengan Muhyiddin bagi meminta nasihatnya. Hanya presiden parti mempunyai kuasa menentukan sesiapa layak menjadi calon atau sebaliknya,” katanya.

Diminta mengulas dakwaannya tidak menerima bayaran tinggi berbanding kedudukan sebelum ini, Ahmad Idham berkata, duit bukanlah isu yang perlu digembar-gemburkan.

“Niat asal saya dan Eizlan menyertai Kementerian Luar kerana mahu meletakkan satu unit yang boleh membantu industri kreatif menjadi satu jambatan bagi mempermudahkan transaksi atau aktiviti pasaran antarabangsa.

“Jadi, saya mengambil peluang untuk meluaskan rangkaian. Bagi saya, duit bukan satu isu. Jika duit isunya, kenapa saya ketepikan manfaat diterima ketika memangku jawatan dalam Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Orang kena tahu saya ini bukanlah penjawat awam mahupun ahli politik, saya adalah penggiat seni. Penghujungnya, saya tetap kembali kepada industri kreatif,” katanya.

Terdahulu, lantikan Ahmad Idham dan Eizlan selaras objektif membangunkan Diplomasi Budaya di bawah Kerangka Dasar Luar Malaysia pada 1 November, tahun lalu.

Sebelum pelantikan itu, Ahmad Idham adalah Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, manakala Eizlan sebagai Ahli Perbadanan yang turut memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri. – MalaysiaGazette