Home Politik Belum jadi YB, calon PN DUN Penawar sudah buat kerja

Belum jadi YB, calon PN DUN Penawar sudah buat kerja

Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin melawat sekitar kawasan rumah ketika selesai Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ahli Koperasi Perumahan Awam Malaysia Berhad (KOPAMA) di Dewan Rakyat Sungai Mas, Felda Sungai Mas, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 MAC 2022.

KOTA TINGGI – Calon Perikatan Nasional (PN) sudah membuktikan kebolehannya walaupun belum memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Kita nampak hari ini, Calon PN N38 Penawar, Mohd Faizal Asmar telah pun memperjuangkan hak-hak rumah untuk penduduk Felda,” katanya merujuk usaha calon PN yang telah membantu lebih 500 generasi anak kedua Sungai Mas dapat geran hak milik untuk lot rumah.

“Beliau bukan baru nak buka langkah hari ini. Hari ini beliau hanya mahu membuktikan kejayaannya dengan membawa satu koperasi yang boleh bekerjasama dengan generasi masa depan untuk membantu mereka mendapatkan rumah mampu milik generasi kedua,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri.

Terdahulu, Hamzah hadir ke Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ahli KOPAMA bersama Faizal untuk menyerahkan sijil pembinaan rumah kepada penduduk Felda Sungai Mas di Dewan Semai Bakti, Felda Sungai Mas.

Menurutnya,  semua penduduk dan peneroka Felda tidak kira di Johor atau seluruh negara sudah faham dan lali dengan mereka yang hanya pandai berjanji tetapi tidak boleh kotakan janji-janjinya.

Menurut Hamzah, sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, beliau tidak berjanji pun dengan sesiapa tapi beliau peka dengan masalah di Felda dan memansuhkan hutang Felda yang berjumlah hampir RM9 bilion supaya Felda dapat diuruskan dengan baik.

“Ini tak payah janji pun.. kita buat je terus. Ini janji itu, janji ini.. Sudahnya banyak berjanji sahaja” katanya.

Jelas Hamzah lagi, manifesto PN dibawa dengan baik oleh calon-calon PN yang ikhlas membantu rakyat termasuklah pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah jika PN diberi peluang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Walaupun tawaran sama seperti sewaktu (Datuk Seri) Khaled Nordin menjadi bekas Menteri Besar (MB) Johor, kita kena ingat pasal apa rakyat tinggalkan dia sehingga kalah di Johor? Dari situ sudah terbukti dia buat benda yang tak berapa betul. Sekarang masa PN untuk perbetulkan semula,” kata Hamzah.

Tambah beliau, ia menunjukkan bahawa kalau ada keikhlasan, rakyat dapat merasai siapa pemimpin yang boleh membantu dan menentukan masa depan mereka dengan baik.

Menurutnya, Manifesto PN bukanlah sebuah perjanjian tetapi sesuatu yang mampu PN berikan kepada Bangsa Johor.

“Bermula di Johor dan InsyaAllah, ke seluruh negara” ujarnya. – MalaysiaGazette.