Home Politik Bukan sahaja Maszlee, tetapi semua pemimpin PH perlu minta maaf – Hanizah

Bukan sahaja Maszlee, tetapi semua pemimpin PH perlu minta maaf – Hanizah

Naib Presiden Parti Bangsa Malaysia, Haniza Mohd Talha berucap pada Majlis Kenali Calon sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 04 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr. Maszlee Malik bukanlah satu-satunya pemimpih Pakatan Harapan (PH) yang perlu meminta maaf kerana gagal melaksanakan manifesto parti itu selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Sebaliknya semua pemimpin PH yang bertanggungjawab menyediakan manifesto yang didakwa menjanjikan ‘bulan dan bintang’ kepada pengundi itu perlu tampil meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pemimpin Parti Bangsa Malaysia (PBM) Hanizah Mohd Talha berkata, meminta maaf adalah cara paling sopan bagi seseorang mengakui kesalahan yang telah dibuat.

Permohonan maaf itu wajar sekiranya jika kesalahan tersebut dilakukan dengan cara tidak sengaja.

“Sudah tentu,  awak hanyalah manusia. Kalau awak buat salah kena minta maaf.

“Kalau perbuatan berbuat salah itu tidak disengajakan mesti minta maaf. Tapi kalau sengaja buat salah, itu tidak boleh dimaafkan,” kata bekas Ketua Wanita PKR itu.

Artikel berkaitan:

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, Maszlee yang merupakan calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memohon maaf di hadapan pengundi kerana gagal menunaikan manifesto PRU-14.

Beliau yang pernah menjawat jawatan Menteri Pendidikan juga mengakui kesilapan lalu dan mahu pengundi memaafkan dirinya serta pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu memberi alasan masa yang begitu terhad sehingga menyebabkan ada janji-janji tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan PH ketika itu.

Menurut Hanizah, jika seseorang sudah membuat sesuatu janji ia seharusnya ditunaikan.

Tambahnya, jika janji tersebut dilakukan dengan sengaja tetapi menyedari ia tidak mampu ditunaikan bermaksud pihak berkenaan telah melakukan satu pembohongan.

“Kalau kita berjanji bulan dan bintang mestilah itu tidak realistik. Mestilah pengundi akan rasa ini hanya gula-gula kepada rakyat sahaja.

“Bukan sebenarnya nak membantu tetapi sebenarnya hendak mendapatkan undi daripada rakyat.

“Tapi mestilah berjanji sesuatu yang realistik yang memang boleh dilaksanakan. Jangan kita terbabas sehingga menyatakan kita boleh bagi sesuatu yang tidak boleh diterima oleh akal,” katanya.

Calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) N.45 Stulang, Saiful Bahari berucap pada Majlis Kenali Calon sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 04 MAC 2022.

Hanizah ditemui selepas menyampaikan ceramah pada kempen sulung PBM sempena PRN Johor di sini malam tadi. PBM meletakkan empat calon termasuk Saiful Bahari yang bertanding di DUN Stulang.

Pada PRU-14 yang lalu Maszlee antara pemimpin PH yang berjanji untuk menghapuskan tol termasuk di kawasan Parlimennya di Simpang Renggam.

PH turut berjanji untuk menurunkan harga petrol ke paras yang munasabah selain berjanji untuk menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat di semua peringkat pendidikan termasuk di pengajian di universiti.-MalaysiaGazette.

1 Komen

  1. Sebenarnya bukan salah ph tapi salah atok mu . Kenapa masih nak tipu rakyat projek atok tersembunyi tidak didedahkan. Ph ada jalan keluar kalau atok berpakat dalam majlis Presiden untok lawan Sheraton

Comments are closed.