Home Politik Dakwaan Chin Tong tidak berasas langsung – Najib

Dakwaan Chin Tong tidak berasas langsung – Najib

Najib Razak menyertai walkabout' di Pekan Sanglang, Benut, di sini hari ini.

PONTIAN – Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang mendakwa beliau turun berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seolah-olah seperti mahu menjadi calon menteri besar sebagai tidak masuk akal langsung.

Ini kerana semua pengundi di Johor tahu beliau tidak bertanding di negeri ini.

”Dakwaan itu tak masuk akal, mana saya ada jadi calon, calon menteri besar adalah Hasni (Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad), semua yang saya buat ini adalah untuk Hasni, bukan untuk saya,” katanya selepas melakukan walkabout di Pekan Sanglang, Benut, dekat sini turut disertai oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Terdahulu, Najib yang tiba dengan mengenakan jersi pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dikurniakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendapat sambutan memberangsangkan penduduk termasuk daripada komuniti Cina.

Bekas perdana menteri itu turut mengakui sokongan daripada masyarakat Tionghua terhadap BN amat menggalakkan sama ada daripada kawasan bandar mahupun luar bandar.

Ketika bercakap kepada media, Najib yang juga Penasihat Barisan Nasional (BN) percaya komponen itu sedang mendahului dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat minggu pertama yang bermula selepas penamaan calon pada 26 Februari lalu.

Meskipun begitu, beliau enggan terlalu yakin, sebaliknya mahu jentera BN terus fokus kepada usaha-usaha menyantuni seramai mungkin masyarakat Johor.

“Alhamdulillah, saya lihat berdasarkan pertemuan yang diadakan, mood dan sentimen. Nampaknya memihak kepada BN tetapi saya tidak mahu menjangka apa-apa keputusan terlalu awal.

“Apa yang penting perlu fokus kepada kerja, beri penjelasan dan pencerahan berhubung agenda kita untuk rakyat serta menangkis fitnah dan tuduhan dibuat pembangkang, itu yang penting,” katanya .- MalaysiaGazette