Home Nasional Karnival Kerjaya Jamin Kerja tawar 5,000 peluang kerja anak muda di Mersing

Karnival Kerjaya Jamin Kerja tawar 5,000 peluang kerja anak muda di Mersing

Saravanan dan Hishammuddin melawat sebuah booth di Karnival Kerrjaya Jamin Kerja di Mersing pagi tadi.

MERSING – Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Daerah Mersing anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) buat julung kali ini menawarkan sebanyak 5,000 peluang pekerjaan menerusi 15 majikan kepada anak tempatan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, karnival yang dirasmikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein itu adalah antara usaha untuk menawarkan peluang pekerjaan secara langsung kepada orang ramai menerusi inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

“Program JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) yang dikendalikan PERKESO adalah satu komponen dalam inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang diumumkan dalam Bajet 2022.

“Kementerian Sumber Manusia menerusi PERKESO menerima peruntukan kerajaan sebanyak RM2 bilion menerusi Bajet 2022 untuk menggalakkan majikan membuat pengambilan pekerja baharu dengan sasaran 300,000 pekerja,” katanya di majlis perasmian Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Peruntukan RM2 bilion menerusi Bajet 2022 merupakan insentif kewangan yang diberikan kepada majikan yang membuat pengambilan baharu dalam kalangan perantis, graduan, golongan mudah terjejas termasuk OKU, bekas tentera, bekas banduan, warga emas serta penganggur mulai 1 Januari lalu.

Tambah Saravana, mandat keluarga Malaysia itu akan digalas sebaiknya oleh pihaknya yang sentiasa pro-aktif dan komited mempergiatkan usaha ke arah memangkin pewujudan peluang-peluang pekerjaan dan pengambilan pekerja.

Pelaksanaan program yang disokong oleh Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs yang merupakan satu platform bagi majikan mendaftarkan peluang pekerjaan dan juga untuk pencari kerja mendaftar profil bagi mendapatkan padanan pekerjaan dengan lebih tepat.

Portal MYFutureJobs yang dipacu oleh teknologi canggih dan terkini adalah pusat sehenti dan rujukan utama kepada Keluarga Malaysia bagi inisiatif-inisiatif berkaitan perkhidmatan pekerjaan.

Bermula Januari hingga 25 Februari 2022 sahaja, portal MYFutureJobs merekodkan 164,689 peluang pekerjaan di negeri Johor, iaitu 20.2 peratus daripada 815,316 kekosongan jawatan aktif membabitkan lebih lebih 84,000 pencari kerja di seluruh negara.

Dalam tempoh yang sama, seramai 8,191 orang pencari kerja di Johor berdaftar dengan MYFutureJobs, berbanding 84,657 pencari kerja di seluruh negara.

Sektor perniagaan, yang masih terkesan dengan penularan wabak Covid-19 telah mengakibatkan 464 orang pekerja di negeri Johor kehilangan pekerjaan setakat 25 Februari tahun ini.

Angka ini mewakili kira-kira 6.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes kehilangan pekerjaan di seluruh negara namun program yang diadakan terbukti dapat membantu pencari kerja dan mereka yang kehilangan pekerjaan untuk memperoleh peluang pekerjaan.

“Sejak dilancarkan pada 17 Januari lalu sehingga 25 Februari 2022, seramai 204 individu telah diambil bekerja di negeri Johor di bawah inisiatif berkenaan setakat ini,” katanya.

Kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun 2022 menerusi program Jamin Kerja Keluarga Malaysia di bawah Bajet 2022.

Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia terdiri daripada tiga komponen iaitu JKIP yang dikendalikan oleh PERKESO, Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan menerusi LAKSANA dan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia) yang dikendalikan oleh HRD Corp. – MalaysiaGazette