Home Nasional Menteri Alam Sekitar jangan bagi pandangan sesuka hati – Husam

Menteri Alam Sekitar jangan bagi pandangan sesuka hati – Husam

Husam Musa

KUALA LUMPUR – Pegawai yang terlibat dalam Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 digesa untuk menyiapkan kajian menyeluruh mengenai punca bencana banjir di Rantau Panjang dan Tumpat.

Sehingga kajian itu selesai, Datuk Husam Musa berkata, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tidak wajar memberikan pandangan sesuka hati.

Beliau tidak menolak pegawai berkenaan mungkin adalah Ketua Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran sendiri.

”Bagi pihak penduduk, saya menggesa supaya SO atau Superintendent Officer projek PLSB (Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu) berkenaan menyiapkan kajian menyeluruh mengenai punca bencana menjadi lebih teruk dari keadaan lazim, mengikut SOP projek ini. SO ialah Superintendent Officer. Mungkin Ketua Pengarah JPS Malaysia,” katanya.

Jelas veteran politik ini, kajian itu perlu mengambil kira pandangan penduduk atau kearifan setempat yang telah mengalami isu banjir sejak sebelum dan selepas pembinaan benteng.

Keadaan sebuah kediaman yang ditenggelami air di Kampung Tersang.

Bahkan kajian oleh pihak ketiga dari badan profesional juga perlu dilakukan untuk mendapat pandangan kedua yanh telus dan bebas.

Tegasnya, kenyataan Tuan Ibrahim yang menyalahkan hujan di lima wilayah Thailand sebagai punca utama kelainan banjir kali ini juga adalah sangat dangkal dan cubaan memperdaya penduduk kampung semata-mata

”Ini kerana hujan lebat di lima wilayah berkenaan tidak melibatkan lembangan Sungai Golok,” ujarnya sambil menggesa bantuan segera berupa penempatan sementara dan penempatan baru sepenuhnya hendaklah disediakan.

Husam berkata, hari ini adalah hari kelapan Kampung Tersang Rantau Panjang di tenggelami banjir di luar musim.

Dalam bencana alam ini, sebanyak enam buah rumah penduduk telah roboh sepenuhnya dirempuh arus deras melepasi bumbung

Buat masa ini, penduduk masih menumpang di surau berdekatan dengan sebahagian barang yang berjaya diselamatkan masih berselerakan tanpa penempatan sementara sempurna.

Banjir buruk di Kampung Tersang menenggelamkan banyak rumah.

Tambahnya, penduduk juga merungut kerana sehingga kini belum ada pemimpin Kerajaan Negeri atau Pusat yang tiba untuk meninjau musibah yg menimpa nasib penduduk dan menyelami punca sebenar masalah.

Mengulas lanjut, Husam berkata, sekiranya kajian SO Projek mendapati penyumbang petaka ini lebih buruk dari banjir lazim ada kaitan dengan projek dlm pembinaan, termasuk ketiadaan pintu air atau kelemahan reka bentuk atau pelaksanaan, satu ganti rugi penuh hendaklah diberikan kepada penduduk Kg Tersang khususnya dan penduduk Rantau Panjang dan Tumpat secara menyeluruh.

Apatah lagi, pelaksanaan projek seperti ini dilindungi oleh insurans bagi pihak kontrkator yang membolehkan kerugian penduduk kampung diberi ganjaran mengikut nilai sebenar kerugian

Selain kerugian berbentuk kerosakan rumah, kerugian ternakan, perkakas rumah, kenderaan dan lain-lain juga perlu diberikan ganjaran

Malah, sekiranya kajian menunjukkan kejadian banjir luar biasa seperti yang berlaku kepada penduduk Taman Sri Muda di Selangor, pekej bantuan yang sama seperti yang diberikan itu diberikan juga kepada penduduk Pasir Mas dan Tumpat

”Dalam tinjauan saya tengah hari ini juga, terdapat penduduk yg meluahkan mereka belum menerima sagu hati bagi musim banjir akhir 2021 baru ini seperti mana penduduk yang lain,” tegasnya. – MalaysiaGazette