Home Politik PICK tak wajar jadi bahan kempen PN – KJ

PICK tak wajar jadi bahan kempen PN – KJ

Khairy ketika melawat Klinik Kesihatan di Gelang Patah di Johor Bahru petang tadi.

ISKANDAR PUTERI – Menteri Kesihatan berpendapat kempen Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan papan iklan memaparkan usaha mereka dalam program vaksinasi percuma sesuatu yang tidak wajar.

Khairy Jamaluddin berkata, ia tidak sepatutnya dijadikan bahan kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Itu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di peringkat kerajaan Persekutuan iaitu kerajaan yang dibentuk oleh BN (Barisan Nasional) dan PN. Jadi ia adalah program daripada semua dalam kerajaan.

“Kerajaan boleh ambil kredit, mungkin mereka mahu kata sebagai wakil dalam kerajaan (tetapi) kita pun boleh ambil kredit yang sama. Tak perlu jadikan sebagai bahan kempen PRN,” katanya ketika diminta mengulas mengenainya.

Terdahulu Khairy mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Gelang Patah di sini petang tadi.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu juga mahu semua parti perlu dihormati dan tidak seharusnya dipandang rendah oleh mana-mana pihak termasuk parti baharu yang bertanding dalam PRN kali ini.

Penyertaan calon-calon muda termasuk daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak boleh dipandang remeh kali ini, katanya.

Menurutnya, semua pihak mempunyai peluang seimbang untuk menambat hati rakyat sepanjang tempoh berkempen.

“Seperti parti MUDA, Pejuang, Warisan dan sudah pastilah musuh tradisi kita PH (Pakatan Harapan), PN (Perikatan Nasional) semua ada maruah sendiri jadi tidak perlulah kita meremehkan usaha mereka.

“Kemunculan parti-parti baharu perlu dilihat sebagai medan ujian untuk semua parti bersaing dalam medium positif,” katanya.

Khairy berpandangan, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kempen termasuk pindaan waktu berceramah sehingga 12 tengah malam juga memberi ruang kepada calon-calon walaupun tidak boleh dilakukan dalam skala besar.

“Kita kena hormat semua parti, masing-masing ada idealisme dan visi tak kira parti MUDA, Pejuang atau Warisan dan sudah pasti musuh tradisi kita PH serta PN, semua ada maruah sendiri.

“Tak perlu kita remehkan usaha mereka, semua tengah mencuba untuk PRN ini. Semua ada pentas yang sama rata untuk merayu undi daripada rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette