Home Nasional Program Keluarga Malaysia penting untuk golongan muda – Hasni

Program Keluarga Malaysia penting untuk golongan muda – Hasni

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menyifatkan program Keluarga Malaysia peringkat negeri Johor sangat penting terutamanya untuk golongan anak muda yang menjadi harapan untuk menyambung legasi pembangunan negara.

”Orang dulu-dulu pernah sebut pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara,” katanya dalam ucapan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Dataran Plaza Angsana, di sini hari ini.

Lantaran itu, Hasni melahirkan harapan agar pembentukan nilai-nilai perpaduan perlu diterapkan dalam kalangan anak-anak muda agar ia dapat membantu naratif kestabilan masa hadapan Johor dan Malaysia yang lebih gemilang.

Dalam majlis sama, beliau turut mengajak orang muda Johor melibatkan diri dalam pelbagai program untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negeri.

“Kita boleh sahaja gunakan pelbagai gajet, asalkan tidak meminggirkan matlamat utama kehidupan untuk menyumbang kebaikan kepada masyarakat, negeri dan negara,” tambahnya.

Hasni berkata, peruntukan belanjawan bagi tahun 2022 telah disediakan untuk membantu golongan anak-anak yatim di negeri ini.

“Kita tidak mahu kehidupan mereka terus melarat dan tidak dapat meneruskan pendidikan di pelbagai peringkat,”.

Kerajaan negeri juga telah menggembleng seluruh kakitangan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim untuk merancang, mengurus dan mengadakan pelbagai program latihan yang memfokuskan kepada pembangunan keluarga.

Jelas Hasni, hal ini amat signfikan dan relevan kerana pembangunan modal insan mampu menyumbang kepada pelbagai sektor pekerjaan di Johor.

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat negeri di Johor merupakan destinasi pertama program itu telah berlangsung sejak 3 hingga 5 Mac 2022.

Program jelajah yang julung- julung kalinya diadakan itu dirasmikan hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – MalaysiaGazette