Home Ekonomi Ringgit dijangka meningkat minggu depan

Ringgit dijangka meningkat minggu depan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka meneruskan aliran meningkat dalam situasi sentimen berhati-hati berikutan ketegangan geopolitik global, dengan diniagakan pada 4.17 hingga 4.18 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, kata pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tumpuan akan kekal pada perang di Ukraine minggu depan.

“Peningkatan ringgit seterusnya agak terhad berikutan keseimbangan risiko masih condong kepada risiko penurunan, sekali gus mendorong permintaan terhadap mata wang selamat.

“Walaupun konflik ketenteraan di Ukraine amat membimbangkan, kenaikan mendadak harga komoditi seperti minyak mentah Brent dan minyak sawit mentah (MSM) menjadi berita baik untuk kita,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, pelabur dijangka kekal menyambut baik keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) yang memutuskan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 1.75 peratus.

OCBC Bank berpandangan bank pusat Malaysia mampu mempunyai lebih banyak ruang dalam mengekalkan kadar dasar terendah dalam sejarahnya pada 1.75 peratus lebih lama berbanding bank-bank pusat setaranya, didorong kenaikan harga minyak mentah.

Ahli Ekonomi OCBC Bank, Wellian Wiranto berkata, status lebihan akaun semasa Malaysia dijangka dikukuhkan lagi oleh pergerakan meningkat harga komoditi yang ketara baru-baru ini memandangkan negara merupakan antara sebilangan kecil pengeksport komoditi bersih di rantau ini.

“Ia akan menjadikan negara kurang terkesan daripada langkah kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS, berbanding yang lain,” katanya dalam nota penyelidikan.

Beliau berkata walaupun mengekalkan OPR tidak berubah, bank pusat Malaysia terus menyedari risiko negatif ke atas pertumbuhan, dengan situasi Rusia-Ukraine membentuk ‘satu risiko utama’ kepada trajektori pertumbuhan dan perdagangan, selain kejutan terhadap harga dan bekalan komoditi.

“Satu pihak boleh berhujah bahawa BNM sedang beransur-ansur ke arah menaikkan kadar dasar, dengan potensi peningkatan inflasi juga diambil kira namun, kami masih berhati-hati daripada menganalisisnya terlalu banyak dan sebarang kenaikan kadar faedah mungkin tidak berlaku dalam beberapa akan datang,” katanya.

Pakar ekonomi itu menjangkakan BNM menaikkan kadar faedahnya pada suku ketiga tahun ini dengan 25 mata asas.

Berasaskan mingguan, ringgit meningkat kepada 4.1760/1795 berbanding dolar AS daripada 4.2005/2040 pada minggu lepas.

Mata wang tempatan juga didagangkan tinggi berbanding mata wang utama lain pada asas Jumaat ke Jumaat.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0715/0745 daripada 3.1016/1044 minggu lepas, dan kukuh berbanding pound Britain kepada 5.5558/5604 daripada 5.6177/6224.

Unit tempatan stabil berbanding euro kepada 4.5994/6033 daripada 4.6966/7005, serta tinggi berbanding yen kepada 3.6178/6211 daripada 3.6422/6455. – MalaysiaGazette