KUALA LUMPUR – Trofi bersalut emas bakal menjadi ganjaran pemenang utama Anugerah Juara Lagu Ke-36 (AJL36) yang disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, malam ini selain wang tunai RM100,000.
“Buat kali pertama, juara AJL bakal menang trofi bersalut emas dan hadiah wang tunai RM100,000. Tahun ini, trofi AJL diubah suai bagi menampakkan ia lebih eksklusif.
“Selain menjadi aspirasi kepada finalis AJL36, trofi bersalut emas itu menjadi lambang kemegahan acara berprestij terbesar negara.
“Pengubahsuaian itu dibuat pada bahagian pangkal yang kelihatan lebih tinggi sekali gus memudahkan pemenang menggenggam trofi berkenaan dengan lebih yakin,” kata TV3 dalam kenyataan di sini, hari ini.
Selain hadiah untuk juara, naib juara bakal menerima trofi dan wang tunai RM50,000 manakala pemenang tempat ketiga membawa pulang trofi dan wang tunai RM30,000.
Pemenang Vokal Terbaik pula menerima trofi dan wang tunai RM12,000.
Bagi kategori persembahan terbaik, selain wang tunai RM12,000, pemenang bakal menerima wang tunai RM6,000 daripada penaja utama, NOIR Beauty Essence.
Malam ini, seramai 12 finalis berentap di pentas AJL36 yang akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Dewan Merdeka, WTCKL, di sini, mulai jam 9 malam.
AJL36 juga boleh ditonton di TV3 dan strim secara langsung di www.anugerahjuaralagu.com, www.tonton.com.my dan YouTube TV3 Malaysia. – MalaysiaGazette