SEREMBAN – Hampir 40 rumah di Kampung Simpang Durian, Kampung Mentaus dan Kampung Jerang di Jelebu, dekat sini, terjejas banjir kilat berikutan hujan lebat kira-kira pukul 7.20 malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Lt Kol (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata, hujan lebat selama dua jam menyebabkan air Sungai Triang, Juntai melimpah dan memasuki rumah penduduk hingga mencecah paras lutut.
“Rumah yang berdekatan sungai dan kawasan rendah menyebabkan air naik dengan cepat namun keadaan tidak kritikal. Hujan lebat reda pada 9.45 malam dan hujan renyai hingga tengah malam.
“Paras air paling tinggi naik hingga 0.5 meter di beberapa kawasan, bagaimanapun tiada pusat pemindahan dibuka dan air surut sepenuhnya sekitar 7 pagi tadi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, kira-kira 50 anggota termasuk APM, bomba dan polis digerakkan ke lokasi bagi memantau keadaan termasuk mengalihkan barang di rumah mangsa ke tempat selamat.
Menurutnya, kejadian berkenaan adalah kali pertama berlaku pada tahun ini di kawasan itu, selepas kawasan sama dinaiki air Disember lepas dan pihaknya sentiasa bersiap siaga sekiranya berlaku kejadian tidak diingini. – Bernama