Home Utama Ibu bapa jangan rasa rendah diri anak pilih TVET, sekolah vokasional –...

Ibu bapa jangan rasa rendah diri anak pilih TVET, sekolah vokasional – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyempurnakan gimik perasmian sambil diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (kiri) dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan (kanan) pada Majlis Perasmian Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 06 MAC 2022.

PONTIAN – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disaran untuk menggubal dasar baharu berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha menjenamakan semula pendidikan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KPT dan agensi berkaitan perlu menghapuskan persepsi ibu bapa terhadap TVET sebagai pendidikan kelas kedua atau tidak relevan.

“Ramai ibu bapa mempunyai persepsi negatif terhadap TVET ini dan menganggap pendidikan ini seolah-olah kelas kedua atau tertumpu kepada pelajar tercicir.

“Namun kalau dibandingkan kepada negara luar seperti Jerman dan Perancis, pendidikan tersebut dijadikan pilihan utama,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Kolej Komuniti Sateli@Pontian, di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, di sini hari ini.

Ismail menambah, golongan pelajar sepatutnya diberi pilihan untuk memilih subjek dalam bidang tersebut di peringkat lebih awal.

Jelas beliau, di negara maju yang lain, pendidikan TVET dimulakan di awal pendidikan namun berbeza di negara ini.

“TVET diajar kepada pelajar selepas Tingkatan Tiga iaitu bermula dengan Tingkatan 4 ke atas barulah pelajar dapat membuat pilihan.

“Jadi, kita mencadangkan untuk KPT menggubal satu dasar baharu tentang TVET, supaya pelajar-pelajar dapat membuat pilihan subjek yang mereka ingin ceburi daripada Tingkatan Satu,” katanya.

Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed meluangkan masa berkunjung ke ruang pameran pada Majlis Perasmian Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 06 MAC 2022.

Ismail Sabri turut memberitahu peluang pemegang sijil TVET ke peringkat universiti telah diperluaskan berbanding dahulu di mana sijil pendidikan itu tidak boleh digunakan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Tetapi pada hari ini sudah ada beberapa universiti di negara ini telahpun menerima sijil vokasional dan sijil latihan TVET ini, untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat universiti.

“Jadi, kepada ibu bapa jangan mempunyai perasaan rendah diri apabila anak-anak belajar di sekolah-sekolah vokasional dan TVET, kerana ‘tagline’ kita adalah ‘TVET menjadi pilihan pertama untuk kerjaya’,” katanya.

Perdana Menteri juga meluahkan keyakinan setiap tenaga mahir yang dilahirkan melalui program TVET berupaya memberikan satu anjakan perubahan yang konkrit, mampu mewujudkan pekerja mahir terlatih, serta berupaya mencipta pekerjaan sendiri dengan berbekalkan kemahiran yang dimiliki.

“Buktinya, kadar kebolehpasaran graduan TVET pada 2020 ialah 87 peratus iaitu melebihi dapada kadar kebolehpasaran graduan di peringkat nasional, yang direkodkan sebagai 84.4 peratus.

“Secara khususnya, kadar kebolehpasaran graduan kolej komuniti pada tahun sama ialah 94.2 peratus.

“Nilai ini adalah yang paling tinggi antara institut latihan kemahiran awam yang kita ada di Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, produk TVET termasuk juga kolej komuniti menjadi rebutan para majikan di luar sana yang membuktikan institusi itu berperanan besar dalam menawarkan akses kepada komuniti setempat untuk meningkatkan kemahiran.

“Dengan pendekatan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang disediakan oleh kolej-kolej komuniti, saya yakin, hasrat untuk menyediakan keperluan latihan dan kemahiran di semua peringkat usia akan dapat dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette