PASIR GUDANG – Rakyat Johor perlu memberi mandat besar kepada Datuk Hasni Mohamad untuk dilantik semula sebagai Menteri Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu pada 12 Mac ini.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana bagi membolehkan Hasni memiliki kerajaan negeri yang kukuh dan dapat melaksanakan Ikhtiar BN Johor dalam usaha mengembalikan semula Bangsa Johor.
Beliau yang Ahli Parlimen Rembau turut mengingatkan pengundi agar tidak lagi terpedaya dengan saudagar mimpi yang pernah mentadbir negeri itu 22 bulan sebelum ini.
“Kita jangan percaya lagi dengan saudagar mimpi yang menjual janji palsu dan kembalilah kepada pemimpin yang berpengalaman dan boleh membawa kestabilan.
“Apatah lagi bibit-bibit pemulihan sudah ada dan cuba membayangkan dua tiga bulan lagi sempadan dibuka bila pandemik makin reda dan pekerja Johor boleh ulang-alik setiap hari.
“Warga negara jiran dapat kembali ke sini untuk melancong dan membeli belah, kita yakin buat pelaburan ekonomi semakin meningkat dan serta anak muda dapat pekerjaan ini hanya wujud di bawah Kerajaan BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkempen di Bilik Gerakan di Kota Masai di sini malam ini.
Khairy yang juga Menteri Kesihatan turut memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan pembukaan semula sempadan pada minggu depan.
Jelas beliau, ini bermakna Kerajaan Pusat mempunyai perancangan dan hala tuju dalam menguruskan negara ketika pandemik.
“Bab kesihatan sudah selesai dan sekarang buka sempadan untuk merancakkan ekonomi negara. Ketika ini kerajaan hendak masukkan duit dalam poket rakyat. Kalau dulu kerajaan bagi bantuan tapi lepas ini kita hendak rancak ekonomi supaya pendapatan rakyat akan meningkat selain perniagan dan pelaburan.
“Kalau baca betul Ikhtiar BN Johor bukan sarat dengan janji bulan bintang tapi ia sarat dengan senarai pembangunan Johor untuk orang muda, ekonomi digital, ekonomi hijau untuk negeri lestari, bantuan kepada rakyat dan perumahan,” katanya. – MalaysiaGazette