KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 4.1 peratus untuk tahun 2021 berbanding 3.5 peratus pada tahun sebelumnya.
Perdana menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob berkata, pengisytiharan itu melibatkan jumlah agihan dividen sebanyak RM379.4 juta pada 2021 berbanding dengan RM310.0 juta pada tahun sebelumnya.
“Bagi tahun kewangan 2021, LTAT telah mencatatkan peningkatan pendapatan kasar sebanyak 50.2 peratus kepada RM512.3 juta berbanding RM341.1 juta yang dicatatkan pada tahun 2020,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ismail, peningkatan pendapatan kasar untuk tahun 2021 telah menyumbang kepada pertumbuhan berganda bagi pendapatan bersih sebanyak 182.2 peratus kepada RM381.1 juta berbanding RM135.0 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Pada masa yang sama, katanya, keuntungan tertahan LTAT bagi tahun 2021 telah meningkat kepada RM672.6 juta berbanding RM193.2 juta yang dicatatkan pada 2020.
Sementara itu, Pengerusi LTAT, Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, pihaknya komited untuk memastikan nilai simpanan pencarum dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mampan, terjamin dan selamat.
Jelasnya, komitmen itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan kebajikan anggota ATM yang telah banyak berkorban dan mengabdikan diri demi keselamatan dan kedaulatan negara. – MalaysiaGazette