Home Politik MUDA akur kosongkan premis

MUDA akur kosongkan premis

Amirah

JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akur dengan notis pengosongan premis dikeluarkan PIJ Holdings Sdn. Bhd. berhubung Bilik Gerakan Muda Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, di Jalan Ketam, Taman Suria, Larkin.

Setiausaha Agungnya, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, keputusan dibuat bagi membolehkan parti itu terus fokus kepada isu utama iaitu untuk menyantuni seramai mungkin pengundi di kawasan berkenaan.

Katanya, MUDA kini sedang mencari lokasi baharu untuk dijadikan bilik gerakan dengan tempoh berkempen berbaki seminggu.

“Berhubung isu berkenaan, memang kami sudah menyewa premis itu dan ada perjanjian hitam putih, tetapi kami akur untuk keluar kerana tidak mahu menyulitkan lagi keadaan.

“Semalam kami sudah maklumkan jentera di Larkin untuk mencari satu lokasi baharu, jadi sekarang kita dalam proses untuk berpindah ke tempat lain,” katanya kepada pemberita ketika melakukan ‘walk-about’ di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, di sini pagi tadi.

Turut hadir, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Baru-baru ini, PIJ Holdings memaklumkan telah membuat satu laporan polis terhadap MUDA atas dakwaan penyewaan premis usahawan muda untuk dijadikan pusat operasi sebuah parti politik.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan telah meminta agar premis berkenaan dikosongkan dengan segera dan dikembalikan dalam keadaan asal untuk kegunaan usahawan industri kecil dan sederhana.

Tambah Amira Aisya yang juga merupakan calon MUDA bagi kerusi DUN Puteri Wangsa, pihaknya bagaimanapun akan membuat tuntutan semula wang deposit yang telah dibayar mereka.

“Kami akur untuk keluar, tetapi selepas selesai PRN Johor ini, kami akan membuat tuntutan ganti rugi melibatkan bayaran deposit sewa premis berkenaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, dia turut memaklumkan telah membuat dua laporan polis berhubung tindakan sabotaj yang dibuat terhadap bahan kempennya di kerusi berkenaan

“Satu laporan polis dibuat berkenaan tindakan sabotaj bahan kempen di Taman Gaya, manakala yang kedua melibatkan unsur sabotaj bahan kempen di Taman Daya,” katanya.-MalaysiaGazette