Home Utama KPM kemuka 7 strategi tangani beg berat pelajar

KPM kemuka 7 strategi tangani beg berat pelajar

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Penyediaan lokar dan penyusunan semula jadual waktu merupakan antara tujuh langkah kerajaan untuk mengatasi masalah beg berat yang dihadapi pelajar, khususnya murid Tahun Satu

Selain itu, langkah menghadkan bilangan buku latihan, buku kerja dan buku aktiviti turut diambil bagi mengatasi masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Menurut Kementerian Pendidkan Malaysia (KKM), pihaknya akan akan menyediakan lokar di sekolah rendah secara berfasa.

“Fasa 1 akan melibatkan penyediaan lokar untuk murid Tahap 1, iaitu Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.

“Pelaksanaan ini akan melibatkan 10,662 kelas dengan 323,186 orang murid. Jumlah anggaran peruntukan tahun 2022 untuk Fasa 1 adalah sebanyak RM37.3 juta,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bagi Fasa 2 pula, katanya, penyediaan lokar akan diperluaskan kepada murid Tahap 2, iaitu Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi dan pelaksanaannya dijangka dilakukan pada 2023.

Tambah kenyataan itu, bagi sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing.

Menurut KKM, selain itu sekolah akan melaksanakan jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari, mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai terutama daripada aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.

Ujarnya, sekolah turut diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu sebagai mana yang sedang dilaksanakan oleh sebilangan sekolah di bawah kementerian itu.

Mengenai menghadkan bilangan buku, KPM berkata, bilangan buku latihan hendaklah tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran pada satu-satu masa yang mana setiap buku latihan tidak melebihi 80 muka surat.

Selain itu, katanya, murid hanya dibenarkan untuk menggunakan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM manakala buku kerja hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Tambahnya, murid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital melalui platform Digital Educational Learning
Initiative Malaysia (DELIMa).

Kata  kenyataan itu, guru pula digalakkan menggunakan pendekatan PdP yang berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (virtual lab) atau pembelajaran terbeza.

Selain itu, KPM akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) bagi penyelarasan uniform agar murid diberi kelonggaran untuk memakai uKelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

KKM berkata, bagi memastikan setiap pendekatan dilaksanakan sebaik mungkin, pihaknya akan memantau pelaksanaan semua pendekatan yang ditetapkan  itu.

“Pemantauan ini akan dilaksanakan oleh sebuah pasukan petugas yang akan melaporkan secara berkala pelaksanaan inisiatif untuk
mengurangkan beban beg berat murid,” katanya sambil menambah langkah yang diambil itu berdasarkan penelitian ke
atas maklum balas yang diperolehi kementerian tersebut.

Katanya, KPM telah menjalankan tiga kajian utama berkaitan beg berat iaitu Kajian Beban Buku Murid Sekolah Rendah (1994), Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah (2008) dan Laporan Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah (2017).

“Hasil daripada kajian yang dilaksanakan, KPM telah mengambil pelbagai tindakan bagi menangani isu berkenaan.

“Antaranya, mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/2000: Penggunaan Buku Kerja Di Sekolah Rendah dan Surat Siaran Panduan Menangani Isu Beg Berat Murid di Sekolah pada tahun 2018,” jelasnya.

Namun demikian, menurut kenyataan itu, perkara tersebut masih belum dapat ditangani sepenuhnya dan sering menjadi keluhan masyarakat. – MalaysiaGazette