Home Nasional PRN Johor: Jentera parti, media dijangkiti Covid-19, SOP perlu diperketatkan

PRN Johor: Jentera parti, media dijangkiti Covid-19, SOP perlu diperketatkan

Haniza Mohd Talha

KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) menggesa pihak berkuasa untuk melihat secara serius prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi pilihan raya negeri Johor, terutamanya semasa berkempen.

Ia berikutan jumlah jangkitan Covid-19 yang tinggi yang telah menjejaskan calon pilihan raya, ahli parti dan juga ahli media yang membuat liputan kempen.

Pengarah Pilihan Raya PBM, Haniza Mohamed Talha berkata, lima calon yang terjejas setakat ini termasuk calon Jementah Pakatan Harapan (PH) Ng Kor Sim; calon Pekan Nanas Yeo Tung Siong (PH); calon Penggaram Ter Hwa Kwong (BN); calon Bukit Batu Chiong Sen Sern (PKR); dan calon Gambir Naim Jusri (PKR).

PBM juga mengetahui pemimpin dan pekerja dari parti politik lain turut dijangkiti.

“Kami prihatin terhadap perkara ini dan khuatir jangkitan akan menjadi lebih teruk, malah amat membimbangkan ialah apa yang berlaku di Sabah akan berulang jika tiada tindakan diambil, terutamanya pada hari pengundian.

”Sebagai langkah segera, pihak berkuasa yang berkenaan harus meneliti SOP berkempen memandangkan sebilangan besar wartawan yang membuat liputan semasa mengikuti kempen juga telah dijangkiti,” tambahnya.

Dakwanya, sekurang-kurangnya tujuh wartawan telah dijangkiti Covid-19.

Lantaran itu, adalah lebih baik sekiranya pihak yang menganjurkan acara sebegini menyediakan liputan secara langsung dalam talian yang mana orang ramai dan media boleh mengikutinya tanpa memerlukan sebarang kehadiran fizikal.

Selain itu, pasukan komunikasi untuk calon masing-masing mestilah lebih proaktif dan memenuhi permintaan daripada wartawan untuk soalan dan temu bual dengan berkesan daripada menyuruh mereka bertemu semasa berkempen.

”PBM berharap pihak berkuasa yang berkenaan dan semua parti politik terbabit memainkan peranan masing-masing untuk membantu memastikan keadaan tidak menjadi lebih buruk dan melihat semula SOP semasa bagi memastikan keselamatan semua orang terutama pengundi pada hari pengundian,” katanya. – MalaysiaGazette