SEMBRONG – Seramai 60 ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) dari cabang Sembrong dan Ranting Kahang bertindak keluar parti dan berikrar untuk menyokong calon-calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Kumpulan anak muda yang merupakan pengundi baharu dan golongan muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang itu bertindak demikian ketika empat hari lagi sebelum pengundian kerana mendakwa hilang kepercayaan terhadap parti sejak pandemik melanda negara.
Mereka juga telah menyerahkan borang keahlian untuk menyertai UMNO Bahagian Sembrong kepada Timbalan Ketua Bahagian UMNO Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid dengan disaksikan oleh calon BN DUN Kahang, R Vidyananthan.
Bekas Ketua AMK Ranting Kahang, Mohd Syahrul Ikmal Abu Othman yang menyertai PKR sejak 2013 mendakwa dia merupakan perintis bagi AMK Kahang yang kini ahlinya sudah mencecah lebih 100 orang namun sudah mula meninggalkan PKR.
Mohd Syahrul yang kini berumur 26 tahun mengaku pernah membantu parti itu berkempen dua pilihan raya sebelum ini.
“Saya mewakili semua anak-anak muda ini hilang kepercayaan terhadap PKR bermula di peringkat ranting, cabang, negeri dan pusat kerana mereka bukanlah parti yang membantu rakyat.
“Sebagai contoh, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, pemimpin-pemimpin parti itu tidak ada pun tampil membantu penduduk yang terjejas seperti dilakukan UMNO.
“Kami sebenarnya kecewa dan itu juga antara mengapa kami sebulat suara mengumumkan keluar PKR serta-merta dan memberi sokongan terhadap calon BN di Kahang iaitu R. Vidyananthan pada PRN Johor nanti,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Ghani melahirkan rasa terharu dan syukur dengan kesedaran oleh golongan muda terhadap parti BN yang selama lebih 60 tahun memperkasakan dan membawa kemajuan dari pelbagai aspek di negeri ini. – MalaysiaGazette