Home Politik 5 isu kritikal Kota Tinggi jadi perhatian Alias

5 isu kritikal Kota Tinggi jadi perhatian Alias

Calon Perikatan Nasional (PN) N.37 Johor Lama, Mohamad Alias Rasman ketika ditemubual bersama Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional Kota Tinggi, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 MAC 2022.

KOTA TINGGI – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Alias Rahman terima banyak rintihan tentang isu dan permasalahan yang bergelut dengan masyarakat di bawah DUN Johor Lama.

Ketua Penerangan ARMADA Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu mengatakan terdapat lebih kurang empat isu secara umumnya yang akan diketengahkan jika diberikan mandat menduduki kerusi N37 Johor Lama.

Yang pertama menurutnya, isu gajah yang telah ‘makan tahun’, merosakkan ladang-ladang peneroka Felda yang besar kemungkinannya mampu mengganggu hasil tanaman secara produktif.

“Di Felda Lok Heng terutamanya, isu gajah dah menjadi suatu kebiasaan buat masyarakat disini. Saya akan bekerjasama dengan pihak-pihak berwajib seperti Jabatan Perhilitan di peringkat negeri dan juga wilayah, Felda, dan pihak penguasa pusat dan negeri.

“Ada cadangan yang telah diutarakan penduduk setempat kepada saya iaitu, apabila satu bidang tanah tersebut sentiasa diserang gajah walau apa cara sekalipun menghalaunya, dengan kebenaran pihak Felda, saya akan minta menggantikan bidang tanah asal diserang gajah dengan tanah di lokasi yang lain” kata Alias ketika ditemui wartawan MalaysiaGazette.

Selain itu, Kota Tinggi sudah menjadi sinonim dengan banjir dan Alias tekad ingin berusaha memastikan kawasan tersebut tidak lagi terkesan ataupun melalui pengalaman buruk bah besar tahun 2006/2007 dan 2018.

“Saya akan memastikan penyediaan satu blueprint ataupun pelan jangka panjang yang akan dilakukan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Jabatan Penguatkuasa Negeri dan mengambil kira pandangan pakar-pakar untuk mendapatkan langkah terbaik menangani isu banjir”

“Di sini walaupun hujan tahap minimum, ada beberapa tempat yang tetap akan banjir. Rumah dah beli, tanah pun dah beli, tapi kita tak boleh nak pindahkan penduduk setempat jadi saya akan mengambil kira cadangan yang lebih produktif untuk jangka  yang panjang melindungi masyarakat setempat” katanya memandang serius banjir yang sering berlaku di Kota Tinggi, Johor.

Selain itu, Alias mahu menyelesaikan lot tanah rumah generasi kedua yang tertangguh hampir 10 tahun.

Katanya, ada beberapa tempat yang penduduknya sudah berjaya mendapatkan geran, ada juga yang belum.

“Yang masih belum dapatkan geran ini, saya akan permudahkan urusan untuk peroleh geran tersebut”

“Kebanyakan pemuda-pemuda generasi kedua di kawasan Felda bekerja tanpa slip gaji, saya akan sediakan satu mekanisma daripada pihak Felda atau swasta sendiri untuk menyediakan peluang pinjaman pembiayaan rumah tanpa birokrasi yang leceh dan tegas.

“Sayang.. tanah dah ada, tapi dana nak buat rumah.. tiada” katanya yang tidak puas hati dengan sistem yang tidak memudahkan peneroka Felda yang masih tiada geran lot rumah.

Terdahulu, rakan seperjuangannya, calon PN N38 Faizal Asmar berjaya menyerahkan sijil pembinaan rumah kepada penduduk Felda Sungai Mas di Dewan Semai Bakti, Felda Sungai Mas, pada 5 Mac.

Alias juga ingin menyelesaikan isu lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang seringkali menjadi suatu ancaman kepada penduduk Taman Aman khasnya.

“Saya akan membuat pemutihan yang mana kita memastikan siapa kalangan mereka (PATI) yang ada permit atau kad UNHCR. Saya juga akan mengambil tahu mereka (PATI) yang permitnya telah tamat tempoh menetap.”

“Saya sendiri akan berganding bahu bersama pihak berkuasa wajib untuk melakukan pemutihan di kawasan tersebut kerana bimbang akan keselamatan masyarakat DUN Johor Lama dengan lambakan PATI,” janji Alias jika diberikan mandat sebagai wakil rakyat DUN Johor Lama.

Menurut Alias yang merupakan seorang peguam itu juga berkata, di DUN Johor Lama tiada stadium mini untuk belia bersukan dan berekreasi.

Ramai belia dan pemuda datang berjumpa beliau mengadu kesempitan ruang selesa untuk masyarakat ‘mengeluarkan peluh’. –MalaysiaGazette.