Home Nasional Empangan Kenyir kekal selamat – TNB

Empangan Kenyir kekal selamat – TNB

Baharin Din

KUALA LUMPUR – Struktur Empangan Kenyir di Hulu Terengganu, Terengganu didapati kekal kukuh dan selamat untuk Stesen Janalektrik Sultan Mahmud (SJSM) beroperasi semula sebaik infrastruktur penghantaran bekalan elektrik di stesen milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu siap dibaik pulih.

Operasi SJSM ditutup sementara bermula 27 Februari lalu berikutan menara penghantaran voltan tinggi bagi menyalurkan tenaga elektrik yang dijananya kepada Grid Nasional, tumbang akibat tanah runtuh dalam keadaan hujan lebat luar biasa sejak 25 Februari.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, ketika ini, kerja- kerja mitigasi akibat dari runtuhan cerun-cerun di sekitar empangan sedang dilaksanakan untuk memastikan struktur empangan kekal kukuh.

”Pada masa yang sama, kerja-kerja membersihkan kawasan tanah runtuh yang menghalang laluan darat ke stesen berkenaan sedang giat dilaksanakan dengan bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi kerajaan yang lain agar segala keperluan perkakasan baik pulih dapat dihantar segera,” katanya selepas hasil pemeriksaan awal dan perkembangan kerja baik pulih SJSM kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika pertemuan kunjung hormat di Kuala Terengganu, pagi ini.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menyerahkan cek RM100,000 kepada Ahmad Samsuri sebagai bantuan banjir kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

”Selain hasil pemeriksaan awal yang meyakinkan kami, pemeriksaan semua empangan TNB dibuat secara berkala setiap bulan, diaudit integriti strukturnya setiap 6 bulan, diikuti ‘Dam Safety Review’ oleh pihak pakar empangan yg berkecuali setiap lima ke tujuh tahun termasuk struktur berkaitan empangan seperti spillway (alur limpah), intake (alur masuk), empangan pelana dan sebagainya, dan ini tidak terkecuali Kenyir,” kata beliau.

Baharin menjelaskan walaupun ditutup sementara, air dari empangan masih mengalir ke Sungai Terengganu bagi meneruskan fungsi lainnya sebagai sumber air bersih dan pengairan untuk pertanian.

”Air masih mengalir keluar ke Sungai Terengganu kerana terdapatnya sistem paip untuk pengaliran keluar air dari empangan biar pun tarbin janakuasa tidak beroperasi,” ujarnya.

Menurutnya paras air di Empangan Kenyir masih berada di bawah tahap pelepasan automatik 145 meter dan jauh lebih rendah daripada paras 153 meter kapasiti maksimumnya.

Paras air tertinggi pernah direkodkan di empangan setinggi 155 meter itu ialah 148.08 meter iaitu ketika Hulu Terengganu menerima taburan hujan lebat luar biasa pada 2014.

Tambahnya, TNB akan menjalankan penilaian komprehensif Empangan Kenyir bagi melaksanakan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang termasuk memastikan kestabilan cerun bagi mempercepatkan proses baik pulih, khususnya pembinaan semula menara penghantaran yang tumbang mahu pun membaiki yang rosak.

Ketika pertemuan itu, Baharin turut mengulangi jaminan bekalan elektrik kepada pengguna di Pantai Timur berikutan penutupan sementara SJSM tidak akan terjejas kerana bekalan yang disalurkan menerusi sistem Grid Nasional adalah
mencukupi.

Bekalan elektrik yang sebelum ini diputuskan sementara di Terengganu akibat banjir pula telah disambung semula sepenuhnya. – MalaysiaGazette