KUALA LUMPUR – Eskalator di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Jalan Ampang, di sini, yang terbakar pada awal pagi tadi bukan seliaan Rapid Rail.
Rapid Rail Sdn Bhd berkata, penjelasan berkenaan dilakukan bagi mengelakkan kebimbangan dalam kalangan orang awam.
“Eskalator tersebut merupakan sebahagian daripada jejantas pejalan kaki yang digunakan oleh orang awam untuk menyeberangi Jalan Ampang. Ia bukan milik atau di bawah selenggaraan Rapid Rail.
“Difahamkan semua pihak yang terlibat sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia serta pihak kontraktor bagi mengenalpasti punca kebakaran,” demikian menurut Rapid Rail.
Dalam pada itu, Rapid Rail menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa untuk mencari kaedah alternatif supaya para pengguna dapat mengakses stesen LRT dengan mudah dan selamat.
Rapid Rail turut memberi jaminan akan mempertingkatkan langkah keselamatan di Stesen LRT Ampang Park bagi menjamin keselesaan para pengguna.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, kebakaran yang berlaku pada jam 5.16 pagi tadi bermula pada suis kawalan dan ada kaitan dengan litar pintas sebelum terbakar.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.-MalaysiaGazette