Home Politik Tekad MUDA: Beli rumah secara pukal untuk dijual kepada rakyat

Tekad MUDA: Beli rumah secara pukal untuk dijual kepada rakyat

Calon-calom MUDA memaparkan Tekad MUDA pada Pelancaran Tekad MUDA sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pejabat Khidmat MUDA Puteri Wangsa, Taman Eco Cascadia, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 07 MAC 2022.

JOHOR BAHARU – Tekad Muda yang menjadi manifesto Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mencadangkan Kerajaan Negeri Johor yang disertai parti itu jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk membeli rumah secara pukal untuk dijual kepada rakyat.

Terkandung dalam Tekad 3: Membela Golongan Pertengahan (M40), pemaju akan diminta untuk memberikan diskaun yang tinggi kepada Kerajaan Johor bagi membolehkan ia dijual kepada kumpulan M40 dan B40 yang memerlukan.

“Tawaran seperti ini melibatkan rumah-rumah yang masih banyak belum dijual oleh pemaju. Jadi kita boleh berbincang dengan pemaju untuk dapatkan satu harga yang lebih rendah dengan diskaun supaya boleh dibeli dengan banyak.

“Rumah ini akan dijual kembali kepada rakyat dengan harga yang lebih rendah kepada rakyat. Maksudnya rumah itu kerajaan yang akan beli dan diberikan diskaun kepada rakyat,” kata Fikri Musa calon MUDA Dewan Undangan Negeri Parit Raja dalam sidang akhbar hari ini.

Calon MUDA N.22, Fikri Musa bercakap pada Pelancaran Tekad MUDA sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pejabat Khidmat MUDA Puteri Wangsa, Taman Eco Cascadia, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 07 MAC 2022.

Tekad MUDA dilancarkan hari ini di Pusat Khidmat MUDA Puteri Wangsa yang mengandungi lima teras. Majlis tersebut dihadiri enam daripada tujuh calon MUDA yang bertanding.

Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyertai majlis pelancaran secara maya kerana sedang berada di ibu negara bagi menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Manifesto itu turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa bagi mengkaji kesesuaian memperkenalkan ‘Denda Rumah Kosong’ bagi mengekang amalan spekulasi di dalam pasaran hartanah.

Selain mencadangankan kerjasama dengan institusi kewangan dan syarikat Fintech berkenaan akses pembiayaan rumah seperti Skim Sewa Beli Hartanah Johor dan ‘perkongsian bersama’.

Sebuah Pangkalan Data Raya juga akan diwujudkan bagi perumahan Johor dan Indeks Harga Median bagi setiap kawasan dan jenis rumah. Setiap kelulusan bagi pembinaan rumah perlu merujuk kepada Data Raya tersebut.

Selain tekad Membela Golongan Pertengahan (M40) turut terkandung dalam manifesto itu adalah Kepimpinan Bertenaga dan Pantas, Mengamalkan Demokrasi Pro Rakyat, Merapatkan Jurang Kelas Masyarakat dan Kemajuan Ekonomi Untuk Semua.-MalaysiaGazette