Home Nasional Terowong SMART ditutup bagi operasi banjir

Terowong SMART ditutup bagi operasi banjir

Terowong Smart

KUALA LUMPUR – Terowong Lebuhraya SMART ditutup sepenuhnya kepada pengguna bagi melencongkan air banjir susulan hujan lebat yang melanda Lembah Klang petang tadi.

Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) menerusi catatan di Facebook rasminya memaklumkan, terowong tersebut ditutup bermula 4.44 petang sebagai persediaan operasi menghadapi banjir.

“Kami tutup untuk kenderaan memang agak lambat berbanding operasi banjir yang telah bermula iaitu ketika mod 2 dan 3,” menurut hantaran tersebut.

Pada mod 4, air banjir dilencongkan ke laluan trafik (upper dan lower deck) dan terowong trafik ditutup dan dikosongkan sepenuhnya daripada kenderaan.

Pada peringkat mod 2, air banjir mengalir di bahagian bawah terowong dan terowong trafik masih dibuka untuk laluan trafik masuk dan keluar Kuala Lumpur, manakala pada mod 3, air banjir mengalir di bawah terowong dan trafik ditutup serta dikosongkan daripada kenderaan.

Terdahulu, beberapa laluan utama di Lembah Klang dinaiki air susulan hujan lebat kira-kira satu jam bermula 3 petang tadi.

Kejadian itu turut menyebabkan puluhan kereta terperangkap di jalan raya dan ada antaranya tenggelam apabila kawasan parkir dinaiki air.

Antara kawasan terlibat ialah Jalan Chan Show Lin, Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Kuching dan Jalan Raja Laut. – Bernama