Home Nasional 573 anggota polis pelbagai pangkat mengundi awal di DUN Maharani

573 anggota polis pelbagai pangkat mengundi awal di DUN Maharani

MUAR – Sejumlah 573 anggota polis pelbagai pangkat dijadualkan menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani.

Seawal jam 8 pagi warga PDRM mula hadir di Dewan Perumahan Polis Parit Perupok, Muar yang menjadi pusat pembuangan undi bagi DUN tersebut.

Mereka diwajibkan mengimbas aplikasi MySejahtera dan memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Menurut pengundi pertama Lans Korporal Mohd Zaman Ismail, 40, beliau teruja untuk menunaikan tanggungjawab dalam proses pengundian awai hari ini.

PRN Johor Undi Awal Maharani
Mohd Zaman Ismail. Foto HAZROL ZAINAL, 08 MAC 2022.

“Perasaan sama macam mengundi sebelum ini kerana ini tanggungjawab kita sebagai pengundi jadi kita hadir.

“Alhamdulillah proses pengundian saya berjalan lancar,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Turut berkongsi nada sama Sarjan Wan Zakiah Wan Abdul Razak yang merupakan antara pengundi pertama wanita di Dewan Perumahan Polis Parit Perupok, Muar.

Bersiap pada jam 7 pagi yang lengkap berpakaian uniform, Wan Zakiah berkata, beliau sangat teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di DUN Maharani.

“Pagi-pagi sudah semangat untuk mengundi walaupun saya sakit.

“Daripada rumah memang berkobar-kobar nak jadi pengundi pertama daripada sebelum ini saya datang agak lewat tapi hari ini rasa nak datang awal untuk mengundi,” katanya.

Undi awal maharani
Sarjan Wan Zakiah Wan Abdul Razak selepas selesai membuang undi pada hari mengundi awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.15 Maharani sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Dewan Serbaguna Perumahan PDRM Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 08 MAC 2022.

Seramai 22,531 pengundi terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan akan mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini.

Daripada jumlah itu seramai 11,576 adalah warga PDRM Johor.

Proses pengundian awal hari ini turut berlangsung di 63 pusat mengundi membabitkan 83 saluran yang disediakan di premis PDRM dan ATM seperti di dewan Ibu Pejabat Polis Kontinjen

DUN Maharani melibatkan  pertandingan enam penjuru antara penyandang kerusi itu, Nor Hayati Bachok daripada Pakatan Harapan (PH) serta empat calon lain iaitu Noor Farah Shamsudin (Barisan Nasional), Abdul Aziz Talib (Perikatan Nasional), Riad Ahmad (Parti Pejuang Tanah Air), Muhammad Hanis Asmui Md Salleh (Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta calon bebas Lim Kim Joo. – MalaysiaGazette