PUTRAJAYA – Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan perintah reman terhadap dua individu bagi membantu siasatan berhubung dua kes rasuah membabitkan syarikat kontraktor.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan secara berasingan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menahan kedua-dua individu itu yang ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini, malam semalam.
Seorang individu berusia 43 tahun yang merupakan ketua perancang bahagian di syarikat penghantaran direman enam hari bermula hari ini.
Menurut sumber, individu terbabit disiasat berhubung kes rasuah syarikat penghantaran antara 2019 dan 2021 bernilai lebih RM29 juta.
Seorang lagi yang direman adalah individu berusia 57 tahun yang merupakan bekas ketua bahagian syarikat penghantaran kargo, direman lima hari bermula hari ini untuk siasatan berhubung kes rasuah pada 2017 hingga 2018 bernilai RM535,305 (USD128,000) sebulan.
Siasatan terhadap mereka dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – Bernama