Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pada 2020, 32 peratus daripada akaun CDS dipegang oleh wanita, dan jumlah itu meningkat kepada 34 peratus tahun lepas.
Beliau berkata, pelabur wanita membentuk 30 peratus daripada jumlah nilai dagangan pada 2021, dan jumlah dagangan oleh wanita melonjak 194.1 peratus bagi tempoh 2018 hingga 2021.
Beliau berkata pelbagai kajian yang telah dijalankan mendapati portfolio diuruskan wanita cenderung mengatasi prestasi yang dicapai rakan sejawat mereka daripada kalangan lelaki.
“Pada 2021, kajian Fidelity Investment menunjukkan pelabur wanita mencapai pulangan positif dan mengatasi lelaki sebanyak 0.4 peratus secara purata dari segi prestasi tahunan bagi tempoh Januari 2011 hingga Disember 2020,” katanya.
Justeru, Bursa Malaysia melancarkan kempen #MyFirstTrade bermula hari ini hingga 31 Mac, 2022 secara eksklusif untuk pelabur wanita yang mempunyai kisah positif untuk dikongsi.
Dalam tempoh tersebut, Bursa Malaysia dan broker yang mengambil bahagian akan mengecualikan bahagian masing-masing bagi yuran pembukaan untuk 4,000 akaun CDS pertama yang dibuka oleh wanita.
“Bursa Malaysia menyediakan platform yang adil dan terbuka di mana semua orang, lelaki atau wanita boleh mengambil bahagian dalam pasaran modal dan ruang korporat.
“Kami telah menetapkan peraturan supaya lebih banyak perwakilan wanita dalam lembaga pengarah dan kami akan meneruskan usaha mengurangkan jurang ketaksamaan jantina di tempat kerja,” katanya. – MalaysiaGazette