KLUANG – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini merayu semua pengundi terutamanya pengundi ‘atas pagar’ untuk mengundi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini.
Muhyiddin mendakwa, generasi muda di negeri ini sudah menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) dan mahu PN pula menerajui negeri Johor.
Lantaran itu, beliau mahu sokongan itu perlu dizahirkan sekali dengan undi.
”Saya keluar bertemu dengan pengundi-pengundi di sekitar DUN Kluang hari ini. Ramai juga pengundi keluar walaupun saya tidak berceramah, masih mahu duduk dan bersantai.
”Ini juga beri peluang kepada saya untuk memahami citarasa, sentimen serta apakah yang mereka mahu oleh pengundi-pengundi ini. Agak kagum juga apabila sokongan tidak berbelah bahagi diberikan kepada PN.
”Calon-calon kita juga ada memaklumkan kepada saya tentang sambutan oleh pengundi dan masyarakat setempat terhadap PN, penerimaan saya sebagai pemimpin PN. Ini juga meliputi semua kaum dan ianya sungguh menggalakan. ‘Ini juga bukti PN di terima baik oleh semua lapisan masyarakat di Johor ini.
”Jika anda sokong PN untuk bentuk kerajaan, keluarlah undi. Jika sokong tetapi tidak keluar undi mungkin beri laluan kepada BN yang anda tidak suka. Itu penting, keluarlah undi beramai-ramai, generasi muda tunjuklah sentimen anda sebagai pengundi,” katanya selepas mengadakan sesi santai dengan pengundi di sekitar Kluang dalam kelompok kecil di sini hari ini.
Muhyiddin turut menyeru rakyat Johor supaya membaca manifesto yang ditawarkan oleh PN dan BN untuk menilai kemampuan sesebuah parti untuk mentadbir Johor kelak. – MalaysiaGazette