Home Nasional Perbetul amalan SOP tak adil rumah ibadat – Amiruddin

Perbetul amalan SOP tak adil rumah ibadat – Amiruddin

Amiruddin Hamzah

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah mendakwa berlaku ketidakadilan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi sesetengah program.

Beliau memberi contoh, program RIUH-Keluarga Malaysia yang diadakan di Ayer Hitam, Johor baru-baru ini langsung tidak mematuhi SOP seperti penjarakan dan jumlah dos vaksinasi.

Ini berbeza dengan SOP ketat dikenakan ke atas umat Islam yang hendak menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau yang mana wajib mengambil dos ketiga iaitu penggalak.

“Tular satu video rakaman program RIUH-Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Ayer Itam, Johor Bahru baru-baru ini, apabila anak muda kita dibiarkan berhibur, menari, berjoget tanpa menjaga penjarakan dan SOP.

“Tetapi, pada masa sama SOP untuk solat berjemaah di masjid dan surau masih lagi dikuatkuasakan, mesti lengkap vaksinasi dan mengamalkan penjarakan,” katanya wakil rakyat Pejuang itu pada sesi perbahasan menjunjung titah Diraja di Parlimen petang ini.

Menurut Amiruddin, ketika ini, seluruh ahli Kabinet dan KKM masih membisu mengenai hal itu seolah-olah program berkenaan tidak ada masalah dan boleh diteruskan.

Sehubungan itu, beliau mendesak KKM berbincang dengan pihak berkuasa kerajaan negeri mengenai SOP yang ditetapkan oleh sesetengah Majlis Agama Negeri yang menetapkan hanya mereka yang telah menerima suntikan penggalak sahaja dibenarkan melakukan ibadah di masjid.

“Jika kita lihat, semua amalan di ruang awam seperti di pasar raya, dewan program atau pun pejabat masih melaksanakan SOP dua dos sahaja.

“Namun, terdapat kerenggangan dalam melaksanakan SOP berkaitan vaksin ini di masjid berbanding tempat lain. Saya mohon amalan ini diperbetulkan,” katanya. – MalaysiaGazette