Home Nasional Polis tahan lelaki lastik kenderaan di lampu isyarat

Polis tahan lelaki lastik kenderaan di lampu isyarat

SUNGAI PETANI – Lastik kenderaan dari arah bertentangan dengan alasan mengalami masalah halusinasi.

Itu alasan seorang lelaki sebaik diberkas polis susulan terlibat dalam insiden melastik batu ke arah sebuah lori dari laluan bertentangan di lampu isyarat Amanjaya arah Sungai Lalang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kegiatan suspek berusia 49 tahun itu terbongkar selepas seorang pemandu merakamkan perbuatan lelaki itu pada pukul 6.20 petang sebelum video tersebut tular di media sosial.

Adzli.

Jelas beliau, bimbang sesuatu buruk menimpa pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut, pemandu berusia 30 tahun itu turut membuat laporan polis pada pukul 9.24 malam.

“Bertindak atas laporan itu, pihak polis berjaya mengesan suspek di Taman Desa Aman, Bedong pada pukul 11 malam.

“Hasil siasatan awal penganggur itu mengaku terlibat dalam kes melastik kenderaan seperti dirakam pengadu selain polis menemui lastik serta batu yang digunakan suspek dalam raga motosikal miliknya.

Lastik serta batu yang dirampas polis dalam milikan suspek.

“Hasil soal siasat awal, suspek mendakwa mengalami halusinasi menyebabkan dia berkelakuan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Adzli, hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah serta pernah ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

“Selain itu, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan prmohonan reman terhadap suspek akan dilakukan hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagi kes melastik kenderaan pula, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kesalahan Kecil 1955,” katanya. – MalaysiaGazette