MERSING – Seramai 325 pegawai dan anggota polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini terlibat dalam proses mengundi awal bagi kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh dan Endau di Mersing.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyrill Edward Nuing berkata, proses undi awal telah bermula tepat jam 8 pagi tadi di Pusat Daerah Mengundi dalam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing.
“Proses undi awal berjalan dengan baik tanpa sebarang halangan buat masa ini.
‘Jumlah anggota yang mengundi adalah lebih kurang 325 orang bagi DUN Tenggaroh dan Endau termasuk anggota yang telah bersara,” kata beliau ketika ditemui di perkarangan IPD Mersing pada pagi ini.
Mengulas lanjut, tambah beliau, persiapan undi awal telah dilakukan sejak semalam dengan kehadiran pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke IPD tersebut untuk memastikan semua berjalan lancar dan selamat.
Menurutnya, pasukan pemantau dari pelbagai agensi turut berada di setiap pusat undi awal bagi bagi melakukan tinjauan sepanjang proses undi awal PRN yang berlangsung hari ini.
Dalam pada itu, tinjuan MalaysiaGazette di IPD Mersing mendapati, pasukan petugas SPR sudah berada di PDM dan melakukan pemeriksaan terakhir persiapan sebelum proses undi awal untuk anggota polis telah dimulakan tepat 8 pagi tadi.
Turut kelihatan pasukan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah membuka ruang khas untuk proses saringan bagi memastikan tiada anggota yang bergejala sebelum mengundi.
Untuk rekod, sejumlah 22,531 pengundi awal dijangka turun mengundi awal hari ini di Johor yang membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Daripada jumlah itu, seramai 10,955 merupakan anggota tentera dan pasangan manakala 11,576 lagi adalah anggota polis dan juga pasangan.
Secara keseluruhan, 63 pusat mengundi telah dibuka dan daripada jumlah itu juga, 30 pusat mengundi akan beroperasi sehingga pukul 12 tengah hari.
Manakala selebihnya, akan ditutup pada pukul 2 petang dan 5 petang.
Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan proses pengundian berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) SPR.
Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dengan kertas undi hanya akan dikira bermula jam 4 petang Sabtu ini (12 Mac).
PRN Johor yang ditetapkan pada 12 Mac melibatkan 2,597,742 pengundi.- MalaysiaGazette