Home Nasional Rumah hanyut banjir: Siti Zailah tanggung kos sewa lima pemilik kediaman

Rumah hanyut banjir: Siti Zailah tanggung kos sewa lima pemilik kediaman

Siti Zailah Mohd Yusoff

PASIR MAS – Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff akan menanggung kos penyewaan yang perlu dibayar lima pemilik rumah susulan kediaman mereka di Kampung Tersang, Rantau Panjang, di sini, dihanyutkan banjir pada 26 Februari lepas.

Beliau berkata, mangsa terlibat akan menyewa di tempat lain, sementara menunggu rumah dibina semula oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan agensi lain.

“Lima rumah penduduk di Kampung Tersang dihanyutkan air banjir yang deras ketika kejadian pada 26 Februari lepas.

“Penghuni lima rumah tersebut boleh menyewa buat sementara waktu, bayaran sewa akan ditanggung di bawah peruntukan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang sehingga rumah mereka siap dibina,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz yang juga Tengku Temenggong Kelantan menyampaikan sumbangan banjir bernilai RM46,800 kepada 36 ketua isi rumah (KIR) Kampung Tersang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Siti Zailah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, rumah baharu itu dijangka mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk disiapkan.

Menurutnya, bagi kerja-kerja pembaikan rumah yang rosak pula, pihaknya akan melakukan kerja baik pulih dengan kerjasama penghulu mukim.

“Bagi mempercepatkan proses baik pulih rumah, tukang kampung akan digunakan selain rumah berkenaan dibina secara gotong-royong,” katanya.

Sementara itu, Siti Zailah berkata, pihaknya telah membantu lebih 10,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di daerah Rantau Panjang dalam tempoh bencana banjir yang berlaku bermula 26 Februari lalu.

“Bantuan disalurkan dengan pemberian kit makanan melalui Pusat Bantuan Asnaf Rantau Panjang. Bantuan akan berterusan dari semasa ke semasa. Selain itu kita juga mengedarkan borang permohonan untuk mangsa banjir memohon bantuan lain yang disediakan,” katanya. – Bernama